Sabtu, 9 November 2019

Faizal sebagai kawan tak harus cakap seperti lawan, kata Lim

MALAYSIAKINI
 
 
 
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata kenyataan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang mendakwa berseorangan dalam menentang DAP sebagai sukar untuk diterima.

Lim berkata ini kerana apa yang didakwa Faizal terhadap DAP bukan sahaja tidak benar tetapi sama sekali tidak berasas.

Kata Lim, sebagai rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan (PH) Faizal tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan seperti pihak lawan yang boleh menjejaskan gabungan itu.

"Apa yang dinyatakan itu memang sesuatu yang sukar untuk diterima kerana ia bukan sahaja tidak benar tetapi tidak berasas dan kenyataan yang tidak berasas itu akan menggegarkan PH.

"Khususnya yang datang dari kawan dan tidak seharusnya seorang kawan cakap seperti lawan," kata Lim kepada pemberita selepas majlis pembukaan Taman Tema Escape di Pulau Piang, hari ini.

Bagaimanapun tambah Lim, sepanjang mengenali Faizal beliau menyifatkan wakil rakyat dari parti Bersatu itu sebagai seorang yang terbuka.

"Saya kerap berjumpa dengan menteri besar Perak dan beliau selalu terbuka dan tidak pernah membuat aduan seperti yang disebutkan tadi maka dalam beberapa kes yang berlaku beliau selalu mempunyai semangat PH," katanya.
Faizal semalam mengundang kontroversi apabila rakaman video beliau mendakwa berseorangan melawan DAP demi mempertahankan tanah orang Melayu dan Islam tular.

Kejadian itu berlaku ketika beliau berbual-bual dengan penduduk tempatan ketika berkempen untuk calon PH di PRK Tanjung Piai, Karmaine Sardini.

"Macam saya di Perak, saya seorang terkontang-kanting nak lawan dengan puak-puak DAP ini.

"Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita," katanya.

Dalam rakaman itu, Faizal juga bercakap mengenai hubungan mesranya dengan rakan-rakan dalam Umno.

Bagaimanapun beliau kemudian mendakwa kenyataannya itu diambil di luar konteks.

'Jangan terperangkap naratif pembangkang'

Mengulas lanjut, Lim yang juga menteri kewangan menasihatkan Faizal supaya tampil memberi penjelasan berhubung duduk perkara sebenar.

"Sekarang beliau harus mengambil langkah dan usaha untuk menebus balik apa yang berlaku supaya dapat memulihkan kesetiakawanan dalam kalangan PH. Supaya tidak akan menjejaskan kestabilan dan juga perpaduan terutamanya dalam kerajaan negeri Perak.

"Dan sekiranya apa yang dicakap itu telah disunting untuk tujuan tertentu maka lebih baik beliau berikan satu penjelasan ," katanya.

Lim berkata sekiranya percakapan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang itu telah disunting, PH seharusnya tidak terperangkap dengan naratif palsu itu.

"PH mewakili semua rakyat dan jangan kita terjerumus dalam naratif pembangkang di mana dalam kalangan orang Cina saya pula disebut sebagai boneka Tun Dr Mahathir dan di kalangan orang Melayu juga serupa "oh tak guna semua boneka dan kuda tunggangan DAP" dan saya rasa itulah cubaan untuk pecah belahkan kita.


"Jangan kita terjerumus dan terperangkp dalam naratif palsu ini," tegasnya.


Tiada ulasan: