Selasa, 5 November 2019

Calon bebas terguris Karmaine gesa pekebun kecil terima kejatuhan harga sawit

Calon bebas, Faridah Aryani Abd Ghaffar mendakwa dirinya 
daripada golongan B40.

PETALING JAYA: Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Faridah Aryani Abd Ghaffar mendakwa dirinya daripada kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40), terguris dengan kenyataan lawannya, Karmaine Sardini yang meminta pekebun kecil bersyukur dengan kemerosotan harga kelapa sawit.

Katanya, penduduk Tanjung Piai mengharapkan wakil rakyat yang mampu membela dan mengubah nasib mereka ke arah masa depan lebih baik.

“Jika dari awal lagi calon wakil rakyat meminta penduduk bersyukur dengan apa yang ada, ia seakan-akan memberi bayangan calon tersebut hanya mengikut rentak kerajaan walaupun ia membebankan rakyat,” katanya dalam catatan Facebook hari ini.

Kelmarin, Karmaine yang juga ketua PPBM Bahagian Tanjung Piai dalam sebuah ceramah umum dilapor menasihatkan pekebun kecil tidak mengeluh mengenai kemerosotan harga kelapa sawit.

Katanya, walaupun harga komoditi itu kini turun kepada RM270 satu tan, pekebun kecil perlu bersyukur kerana mendakwa ia masih tinggi daripada RM87 satu tan pada zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Faridah berkata, beliau bertanding di Tanjung Piai bukan untuk memecahkan undi, sebaliknya mahu memperjuangkan nasib B40 di sana.

“Sudah terlalu lama golongan B40 bergelut untuk meneruskan kehidupan, dengan pelbagai bentuk bantuan kini dihentikan kerajaan.

“Keadaan ini perlu diberi perhatian oleh PH selaku kerajaan dan saya mahu mewakili penduduk Tanjung Piai bagi menyuarakan isi hati mereka di Parlimen.”

Tiada ulasan: