Khamis, 7 November 2019

Bersih: Bantuan sepatutnya diberi selepas PRK


MALAYSIAKINI
 


Badan pemerhati bebas pilihan raya, Bersih hari ini mendakwa pembayaran bantuan khas RM1,000 kepada nelayan di Tanjung Piai oleh kerajaan negeri Johor sebagai percubaan untuk memancing undi golongan tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini Bersih berkata pembayaran bantuan tersebut sepatutnya ditangguhkan sehingga tempoh pilihan raya selesai.

"Ini adalah bagi memastikan padang permainan yang sama rata," kata kumpulan tersebut.

Kenyataan dikeluarkan Bersih itu merujuk kepada pengumuman kerajaan negeri Johor hari ini yang memaklumkan seramai 544 nelayan daripada Tanjung Piai akan menerima bantuan khas nelayan bermula minggu hadapan.

Pembayaran itu biasanya dilakukan antara Oktober dan November setiap tahun sebelum ini.

Bersih pada masa sama turut membidas tindakan beberapa menteri yang mengumumkan peruntukan bagi menjalankan projek ketika melawat Tanjung Piai untuk berkempen.

Antara menteri yang disebut oleh Bersih dalam melakukan perkara itu adalah Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun dan juga Menteri Pertanian dan Asas Tani Salahuddin Ayub.

"BERSIH 2.0 sekali lagi menegaskan bahawa kami tidak mengatakan bahawa menteri-menteri ini telah melanggar undang-undang pilihan raya kerana undang-undang penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen masih belum digubal.

"Kami menggesa untuk semua penggubal undang-undang daripada semua parti untuk menyokong reformasi pilihan raya dan pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memastikan apabila tiba waktu pilihan raya, padang permainannya adalah sama rata," kata kumpulan tersebut.

Tiada ulasan: