Khamis, 21 November 2019

Bersatu ambil alih Pulau Pinang daripada DAP

HARAKAHDAILY 

PAS ajak parti-parti politik bermuafakat




KEPALA BATAS: Projek-projek pembangunan mega yang mahu dilaksanakan Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang hakikatnya bakal mendatangkan musibah berbanding kebaikan.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff bahkan menempelak DAP kerana bersikap tidak mempedulikan bantahan rakyat yang terkesan dengan projek berkaitan.
 
Malah DAP bidasnya, bersikap lebih teruk dan buruk kerana perkara-perkara dibantah parti itu suatu ketika dahulu dibuat secara keterlaluan dan bakal mendatangkan banyak impak negatif.

Beliau menyeru kesatuan parti-parti politik di negeri ini untuk berhadapan DAP ketika berucap pada Majlis Makan Malam PAS Pulau Pinang di Hotel Seri Malaysia, di sini kelmarin.

Bentang beliau, projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) adalah terlalu mahal iaitu RM46 bilion yang antaranya pakejnya adalah Lebuh Raya PIL bernilai hampir RM500 juta bagi 1 kilometer.

Sedangkan menurutnya, semasa Lebuh Raya KIDEX di Selangor mahu dibina dengan kos RM100 juta lebih bagi jarak sama, ianya menerima bantahan daripada DAP.

“Tapi kini, bantahan rakyat yang terlibat dengan projek mereka mahu buat pun mereka tak peduli. Antaranya projek LRT akan melibatkan beberapa buah masjid. Begitu juga tambakan tiga pulau seluas 4,500 ekar, ribuan nelayan termasuk di Kedah dan Perak akan terjejas.

“Bekalan hasil laut seperti ikan, udang, sotong akan terjejas. Kita dah tengok pun masalah tambakan ini apabila pengorekan dibuat di Gurney Drive menyebabkan semua ikan ternakan dalam sangkar mati,” kesalinya.

Tambahnya, dahulu DAP paling lantang membantah BORR dan PORR tapi kini mereka melaksanakan projek seumpama yang lebih besar iaitu PTMP.

Menurut beliau, pemerintahan DAP di negeri ini telah mendatangkan pelbagai ketidakselesaan kepada rakyat antaranya mahu aman terutama dari kos sara hidup yang teruk.

Jelasnya, rakyat semakin cemas dengan sikap DAP sekali gus hal tersebut menuntut perubahan di mana parti-parti politik yang ada mesti bersatu mengambil Pulau Pinang daripada DAP.

Majlis tersebut bertujuan mengumpul dana bagi tujuan pembangunan Kompleks Tarbiyah PAS Pulau Pinang (KOMTAR) di Pongsu Seribu dengan sasaran RM15 juta.

Ia telah disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin selain penyampaian anugerah bagi langganan Harakah dan keahlian PAS teramai. – HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: