Sabtu, 9 November 2019

Berjasa fokus kempen, tak amal budaya serang peribadi calon

Oleh Athirah Huda Zalhe

 

Lebih baik ketengah kelebihan Tok Badh, tawaran untuk Tanjung Piai


PONTIAN – Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) menegaskan prinsipnya tidak akan mengamalkan budaya ‘menyerang’ peribadi calon atau mana-mana parti lain yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Timbalan Presidennya, Ustaz Hamidi Abu Hassan berkata, Berjasa akan terus menjalankan kempen secara sihat, dan lebih mengetengahkan kelebihan calonnya, Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan tawaran parti kepada pengundi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, walaupun sudah mula episod ‘serangan’ antara parti-parti utama di Tanjung Piai, Berjasa tidak mahu terpalit dan menjadi antara pihak yang terbabit dalam watak itu.

“Kita memang yaking calon yang Berjasa ketengahkan, ahli dan penyokong parti tidak terbabit dengan sebarang masalah.

“Apa saja yang berlaku antara parti lain seperti BN dan PH sepanjang kempen ini, adalah urusan mereka dan kita tidak mahu masuk campur,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas beberapa laporan polis dan tuduhan yang dibuat antara satu sama lain oleh Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini, penyokong PH membuat laporan polis ke atas calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng bagi mendesak kontrak membabitkan Kementerian Pengangkutan bernilai RM150 juta dikaitkan dengannya, disiasat segera.

Mengulas perkara itu, Ustaz Hamidi berkata, Berjasa masih berpegang dengan prinsip sejagat untuk tidak mempercayai dakwaan itu selagi ia tidak disabitkan bersalah di mahkamah.

“Dan prinsip kita juga untuk memfokuskan usaha menaikkan calon kepada pengundi di sini, tanpa perlu menjatuhkan parti atau calon lain. Selama ini, kita dimomokkan dengan politik kepartian sempit, dan sekarang Berjasa tidak mahu menjadi sebahagian daripadanya.

“Kita mahu mendukung Perlembagaan yang meletakkan Islam agama Persekutuan dan beri hak kepada Melayu serta Bumiputera. Jadi, itu yang Berjasa pertahankan. Mempertahan Perlembagaan supaya kedudukan negara lebih stabil,” katanya.


Tiada ulasan: