Ahad, 17 November 2019

Azan sifatkan Ketua Wanita PKR T'ganu cuba raih publisiti murahan


Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail menyifatkan Ketua Wanita PKR Terengganu, Sharifah Norhayati Syed Omar sebagai cuba meraih publisiti murahan dengan membuat laporan polis atas dakwaan dikasari petugas ketika konvensyen parti peringkat negeri itu berlangsung, pada Jumaat.
Azan berkata Sharifah membuat dakwaan itu bagi mencari peluang untuk menonjolkan diri.

"Tak boleh begitu dan tak adil untuk kita highlight perkara yang sangat kecil dalam satu konvensyen yang besar serta berjaya menarik minat orang ramai.

"Kerana bagi saya, tidak ada apa-apa kekurangan pun dalam majlis itu, tetapi tiba-tiba ada satu individu yang nak cari publisiti murahan, cipta satu elemen yang kita rasa tak sedar pun ia berlaku sehingga satu laporan polis dibuat dan saya rasa laporan yang dibuat di mana beliau dikasari adalah laporan palsu.

"Takkanlah kerana insiden ada petugas minta beliau berpindah kerusi sampai kena buat laporan polis. Itu tak masuk akal. Sebab itu dia buat laporan polis dengan menokok tambah dan memalsukan laporan polis itu untuk memunasabahkan laporan dia itu," katanya kepada Malaysiakini.

Azan berkata demikian mengulas laporan polis yang dibuat Sharifah semalam.

Konvensyen PKR Terengganu pada Jumaat terpalit kontroversi apabila Sharifah mendakwa dikasari petugas parti serta dihalang duduk di sebelah Presiden PKR, Anwar Ibrahim ketika konvensyen itu berlangsung.
Sharifah Norhayati Syed Omar.
Sharifah mendakwa sekumpulan lelaki mengasarinya dengan menarik kuat lengan kanannya ketika menghadiri konvensyen itu.

Mengakui tidak dijemput menghadiri konvensyen berkenaan, Sharifah berkata dia juga tidak dibenarkan duduk sebaris dengan tetamu kenamaan dan barisan kepimpinan, walaupun berhak hadir atas kapasiti Ketua Wanita PKR Terengganu.

Sehubungan itu Sharifah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, lewat malam, semalam.

'Tak hadir mesyuarat lebih setahun'
 
Mengulas lanjut, Azan turut menyifatkan dakwaan Sharifah tidak dijemput sebagai melampau dan lucu.

"Tetamu yang kita anggap sebagai jemputan khas adalah Tengku Seri Paduka Raja dan isteri, kemudian (Presiden PKR) Anwar Ibrahim. Itu sahaja, selebihnya majlis ini terbuka kepada semua.

"Takkanlah dia nak dakwa dia tak dijemputlah, tak ada kerusilah. Ini satu dakwaan yang sangat melampau dan lucu, yang ada niat untuk beri imej buruk kepada PKR Terengganu," katanya.

Azan mendakwa Sharifah tidak hadir ke mesyuarat parti lebih setahun.

"Dia (Sharifah) memang diketahui tidak pernah hadir mesyuarat selama setahun lebih. Tidak pernah mengambil tahu hal parti, tidak pernah mengambil tanggungjawab tentang perancangan dan pentadbiran parti apatah lagi soal pengumuman parti.

"Jadi, tak usahlah tunjuk teladan yang tidak baik. Sebaliknya, dia sepatutnya datang mesyuarat dan ikuti perkembangan parti secara dalaman,"katanya.

Tambah Azan, Sharifah juga disaran tidak terikut-ikut perangai sesetengah pimpinan pusat parti itu dalam soal kehadiran mesyuarat partinya.

"Mesyuarat mesti hadir dan jangan terikut perangai ada sesetengah di peringkat pusat yang tidak menghadiri mesyuarat dan kemudian buat pelbagai tuduhan dan alasan.

"Kita sedang berdepan masalah yang sama di peringkat pusat dan dia ini salah seorang yang berperanan sama di peringkat pusat. Sama saja. Sebab itu saya hairan kenapa tiba-tiba datang, datang-datang terus mencari helah dan peluang untuk timbulkan masalah," kata Azan, dipercayai merujuk kepada Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin.

Sebelum ini difahamkan hubungan antara Azan dan Sharifah tegang berikutan pelantikan Sharifah sebagai Ketua Wanita PKR negeri. Pelantikan itu dibuat oleh Wanita PKR Pusat dan dikatakan tidak disenangi Azan.


Tiada ulasan: