Rabu, 27 November 2019

Ambrin arah semua salinan dilupus kecuali satu disimpan Salwani

 Hidir Reduan Abdul Rashid & Hariz Mohd
 
 

KES PINDA AUDIT 1MDB | Bekas Ketua Audit Negara, Ambrin Buang memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau mengarahkan semua salinan laporan audit asal 1MDB dilupuskan kecuali satu salinan.

Beliau berkata salinan yang tidak dimusnahkan itu bagi membolehkan pegawainya Nor Salwani Muhammad, yang merupakan penyelaras bagi laporan itu, menyimpannya.

Beliau berkata laporan asal, di mana 60 salinan telah dicetak, tidak lagi boleh digunakan kerana ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mahukan perubahan dibuat.

"Selepas perbincangan dengan Arul Kanda, pasukan audit meminta kebenaran saya tentang perubahan yang boleh dibuat berdasarkan justifikasi bahawa ia telah diteliti.
 
"Oleh itu, laporan audit 1MDB Jabatan Audit Negara (JAN) yang sudah dicetak tidak lagi boleh digunakan kerana perubahan.

"Saya mengarahkan semua laporan audit 1MDB yang sudah dicetak untuk dilupuskan kecuali satu yang disimpan Nor Salwani," katanya semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya,
Rozaliana Zakaria dalam kes perbicaraan Perdana Menteri Najib Razak dan Arul Kanda melibatkan pindaan audit 1MDB.
Ambrin menegaskan beliau mempunyai kuasa untuk membuat keputusan itu walaupun dokumen itu dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Saya telah terima certification di bawah undang-undang. Peraturan bawah OSA, anda perlu dapatkan pensijilan dokumen pemegang OSA. Jadi saya boleh mengendalikan, menyimpan untuk kegunaan dalaman," katanya.

Salinan tunggal laporan 1MDB yang asal dan tidak dilupsukan itu dijadikan sebagai bukti utama dalam perbicaraan itu.

Ambrin berkata perubahan kepada laporan audit itu dibuat berikutan maklum balas Arul Kanda dalam dua mesyuarat sebelumnya, pertama dengan Najib pada 22 Feb 2016 dan satu lagi pada 24 Feb 2016 dengan Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa dan beberapa pegawai kerajaan lain.

"Mesyuarat (pada 24 Feb) memberi tekanan pada JAN untuk mempertimbangkan pendengaran atau menerima maklum balas yang diberikan oleh pengurusan 1MDB walaupun tempoh masa yang panjang sudah diberikan kepada mereka untuk berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata laporan audit asal itu tidak mengandungi maklum balas 1MDB kerana syarikat itu tidak pernah memberi maklum balas atas permintaan tersebut.

Dalam pertemuan itu, yang hadir ialah Ali, Arul, Setiausaha sulit kanan kepada Ali, Norazman Ayob,
Dzulkifli Ahmad yang mewakili Jabatan Peguam Negara ketika itu,Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Isa Hussain, wakil Kementerian Kewangan Asri Hamidon, dan Setiausaha Sulit Najib, Shukry Mohd Salleh.

Dzulkifli Ahmad dilantik mengetuai SPRM lima bulan kemudian.
Ambrin, yang dipanggil oleh Ali, berkata beliau membawa seluruh pasukan audit 1MDB ke mesyuarat di pejabat Ali tetapi hanya dua individu - Ambrin dan Saadatul Nafisah - dibenarkan masuk.

"Ahli-ahli lain pasukan audit 1MDB terpaksa tunggu di luar bilik mesyuarat dengan dokumen mereka dan kertas kerja," katanya.

Ambrin, yang kemudiannya disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram, juga mempertahankan langkah Salwani meletakkan perakam suara dalam bekas pensil Saadatul sebelum dia masuk ke mesyuarat itu.

Gopal bertanya Ambrin jika perbuatan itu merupakan pelanggaran tatalaku.

Namun Ambrin berkata perakam itu untuk membantu Salwani, yang merupakan penyelaras audit, mengambil nota kerana dia tidak dibenarkan masuk ke mesyuarat berkenaan.

"Dia tidak langgar kerana dia boleh mengambil nota - untuk kegunaan dalaman (JAN)," katanya.


Tiada ulasan: