Isnin, 25 November 2019

50 rakyat Malaysia mati akibat penyakit jantung setiap hari

Lee Boon Chye berkata, penyakit jantung kekal pembunuh nombor 
satu di Malaysia dengan statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan 
18,267 orang mati akibat penyakit itu tahun lalu.
 
IPOH: Penyakit jantung koronari masih menjadi pembunuh nombor satu yang meragut kira-kira 50 nyawa rakyat Malaysia setiap hari, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, jumlah kematian akibat penyakit jantung koronari pada 2018 ialah 18,267 orang, sekaligus kekal punca utama kematian di negara ini.

“Jumlah kematian akibat penyakit itu menunjukkan peningkatan setiap tahun dan ia juga menjadi punca utama yang menyebabkan kematian mengejut,” katanya selepas merasmikan program “Perak Automated External Defibrillator (AED) Save A Life” semalam.

Seramai 580 peserta dari seluruh Perak menyertai program anjuran Persatuan Kardiovaskular Ipoh untuk meningkatkan kesedaran dan bilangan orang awam yang mampu melakukan bantuan pernafasan (CPR) serta menggunakan AED. 

Larangan minum arak

Sementara itu, Lee berkata, Kementerian Kesihatan tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan larangan meminum arak di tempat tertentu seperti larangan merokok.

Beliau berkata, bagi larangan merokok, kementerian boleh melaksanakan penguatkuasaan kerana ia termaktud di dalam Akta Makanan 1983.

Katanya, larangan minum arak terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan masing-masing.

“Bagaimanapun, minum arak semasa memandu sememangnya tidak wajar dan tidak dibenarkan, sekiranya mereka ingin memandu, mereka tidak seharusnya minum arak kerana ia bukan saja membahayakan diri, malah pemandu lain.”

Tiada ulasan: