Sabtu, 16 November 2019

43 peratus keluar mengundi setakat 12 tengah hari


LANGSUNG | Proses pengundian untuk pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai sedang dijalankan.
BN yang bangkit dan menubuhkan Muafakat Nasional cuba merampas kerusi dari Pakatan Harapan yang memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis pada 2018.

Terdapat 52,698 pengundi di kawasan parlimen separa bandar ini, dengan 57 peratus pengundi Melayu, 42 peratus Cina dan kira-kira 1 peratus adalah kaum lain.

PRK ini akan menyaksikan pertembungan enam penjuru. BN meletakkan bekas penyandang parlimen itu selama dua penggal, Wee Jeck Seng dari MCA.

Jeck Seng dikalahkan oleh Dr Md Farid Md Rafik dari Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
Sementara itu, PH mempertaruhkan Ketua Bersatu Tanjung Piai, Karmaine Sardini. Gerakan mecalonkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Wendy Subramaniam, dan Berjasa diwakili presidennya, Badhrulhisham Abdul Aziz. Turut bertanding adalah calon Bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Malaysiakini membawakan laporan langsung:



12.05 tengah hari: SPR mengumumkan peratus keluar mengundi setakat pukul 12 tengah hari tadi adalah 43 peratus. Jumlah ini lebih rendah berbanding PRK Cameron Highlands dan Rantau pada awal ini, tetapi lebih tinggi berbanding PRK Sandakan.

Hujan dijangka pada sebelah petang yang mungkin menghalang sesetengah pengundi untuk keluar menunaikan kewajipan mereka.



12 tengah hari: Serkat: Menteri Pertanian Salahuddin Ayub, yang juga merupakan anak jati Kampung Serkat, lewat membuang undi hari ini.

Apabila ditemui di sebuah kedai di luar sekolah, Salahuddin memberitahu media bahawa dia berasa yakin dengan peluang PH di Serkat dan Tanjung Piai.

Jelas Salahuddin, rata-rata penduduk yang menemuinya memberi sambutan menggalakkan berbanding sebelum PRU tahun lalu.

"Ada yang memeluk saya, dan mencium saya (di pipi), ada yang memegang tangan saya, jadi anda pasti dapat melihat perbezaan di sana," katanya.

Serkat juga merupakan kampung halaman Allahyarham Farid.

Sementara itu, Salahuddin juga menafikan mempunyai kaitan dengan sepanduk yang memaparkan wajahnya dengan tertera ayat 'nelayan jangan jadi pemalas'.

"Saya tidak pernah berkata demikian. Pada masa saya sebagai menteri saya hanya memanggil nelayan dan petani sebagai wira negara," katanya.



11.50 pagi: SJKC Yu Ming, Pekan Nanas: Keadaan di luar pusat mengundi bertambah riuh apabila bekas perdana menteri Najib Razak tiba,

Sambil melaungkan slogan “malu apa bossku”, penyokong BN berarak di belakang Najib ke kedai makan yang berhampiran.

Namun, penyokong PH turut melaungkan perkataan seperti “pencuri” bagi menyambut kedatangan ahli parlimen Pekan itu.

Turut kelihatan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.

Apabila ditanya sama ada masih berkempen hari ini, Najib menafikan perkara tanggapan itu.
“Mana boleh kempen, saya datang mereka sambut je,” katanya.

Najib singgah selama 15 minit dan penyokong BN turut bersurai selepas itu.


11.35 pagi - SJKC Yu Ming, Pekan Nanas: Kelompok penyokong parti dari BN dan PH masih tidak bersurai setelah tiga jam bersorak dan berkempen di luar tempat pengundi.

Penyokong BN juga enggan mendengar nasihat SPR supaya berada dalam satu kelompok dan sebaliknya terus menjerit serta menyanyi lagu "Terima Kasih Abang Polis".

“Saya dah sampaikan mesej bahawa jangan mengganggu pengundi di sini tapi mereka nak berada di sini kerana ada tempat teduh.

"Memang ini bukan sesuatu yang mudah,” kata pegawai SPR Norlinah Jamman yang berusaha mengawal keadaan.

Pihak polis akhirnya menghantar pasukan FRU untuk mengawal keadaan.



11.30 pagi: SPR mengumumkan peratus keluar mengundi setakat pukul 11 pagi tadi adalah 30 peratus.


11.00 pagi: SMK Dato Yunos, Pekan Nanas, Pontian - Megulas mengenai tindakan penyokong parti politik meneriakkan slogan dan berkempen, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun berkata pihaknya akan menasihati peraih undi dan penyokong agar tidak melebihi had 50 meter yang ditetapkan.

“Kalau di luar 50 meter, kalau dalam keadaan terkawal, kita ambil pendekatan lebih lembut, menasihati mereka.

“Dinamik perlakuan peraih undi kita tidak boleh perincikan, kalau ada perbuatan di kawasan kabur dan apabila di luar kawalan kita akan hentikan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita.


Jelas Azhar, pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk memantau dan jika penyokong dilihat melakukan aktiviti meraih undi secara aktif, pihaknya akan mengambil tindakan.


10.45 pagi: Teluk Kerang: Kesesakan lalu lintas hampir 1km dari Rembah menuju Teluk Kerang.
Kesesakan itu susulan orang ramai yang turun di SK Teluk Kerang yang terletak di pinggir jalan utama.
Sementara itu, sehelai sepanduk berwarna jingga dengan imej Menteri Pertanian Salahuddin Ayub digantung di pinggir jalan dari Teluk Kerang menuju ke Kukup.

Sepanduk itu turut disertakan dengan ayat: "Nelayan jangan menjadi pemalas".

Tiada sebarang logo parti politik dapat dilihat pada sepanduk itu dan tidak dapat dipastikan pihak yang bertanggungjawab memasangnya.



10.30 pagi: SJKC Yu Ming Pekan Nanas: Penyokong parti politik terus bersorak dan berkempen di luar pusat mengundi.

Bagi calon PH Karmaine Sardini, tindakan berkenaan adalah tidak wajar kerana menurutnya keadaan perlu kekal aman dan tenteram pada hari mengundi.

Apabila dimaklumkan bahawa penyokong PH turut terlibat, Karmaine percaya ia mungkn disebabkan provokasi oleh pihak yang lain.

Sementara itu, DAP Adun Pekan Nanas Yeo Tung Seong berkata, beliau telah menghantar beberapa ahli DAP untuk membuat laporan polis di Balai Polis Pekan Nanas atas insiden yang berlaku di luar tempat mengundi.

“Jangan menarik undi dengan cara yang tidak betul. Kami sudah maklumkan kepada ahli supaya kawal diri,” tambahnya.


9.54 pagi: SK Telok Kerang, Pontian: Ketika penyokong BN-PAS dan PH saling berlawan menjeritkan slogan, penyokong Berjasa mengambil pendekatan berbeza.

Menurut salah seorang penyokong Berjasa yang hanya mahu dikenali sebagai Rohani, sekumpulan lima ke enam ahli Berjasa diletakkan di setiap 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi berganti-ganti membaca dua juzuk al-Quran.

Penyokong BN dan PAS dapat didengar melaungkan “Calon No 2”, selain “Arwah Arwah” manakala PH pula melaungkan slogan “Calon No 4".


9.00 pagi: SJK C Yu Ming, Pekan Nanas: Calon Gerakan, Wendy Subramaniam membidas penyokong BN yang didakwa berkempen di pusat pengundian.

"Saya amat sedih bahawa (walaupun pernah jadi) kerajaan sejak 60 tahun yang lalu masih berkempen sehingga sekarang.

"Setiap tempat mengundi saya pergi, mereka juga berkelakuan seperti ini, menunjukkan logo parti mereka dan tanda nombor 2.

"Jika calon anda begitu terkenal di sini, kenapa anda masih menggunakan taktik sedemikian pada masa ini," katanya.
Sementara itu, penyokong BN, PAS dan PH masing-masing menerakkan slogan.

Penyokong BN menjerit "undi BN", sementera penyokong PH menjerit "calon nombor empat".

Ahli Parlimen PKR Pasir Guding Hassan Karim juga berada di sini. Menurutnya, tidak ada masalah untuk berkempen selagi jarak lebih daripada 50 meter dari garis kuning.


8.20 pagi: SK Serkat: Calon bebas Farah Aryani Abd Ghaffar, yang bukan pengundi Tanjung Piai, turun untuk menyambut pengundi.

Dia memberitahu Malaysiakini dia "95 peratus" yakin. Farah juga optimis mendapat sokongan pemandu teksi tempatan serta peniaga.

Faridah dilihat mewakili Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), dengan kempennya cuba mengetengahkan isu yang dihadapi golongan pemandu teksi.


8.18 pagi - SJK (C) Yu Ming, Pekan Nanas: Calon MCA Wee Jeck Seng, 55, selesai mengundi di saluran 2, SJK (C) Yu Ming, Pekan Nanas.

Bagi Jeck Seng, yang bangun seawal 5 pagi tadi, walaupun pilihan raya ini bukan kali pertama dia bertanding, ia tetap cabaran besar buatnya.

Isterinya Lim Joo Hon, 45 juga selesai mengundi pada pukul 8.15 pagi di tempat mengundi yang sama.


8.05 pagi - SK Serkat: Penyokong Pakatan Harapan Irwan Iskandar adalah orang pertama yang mengundi di aliran kedua di Serkat.

Irwan, 52 menyatakan keyakinan PH boleh menang.

Serkat adalah kampung asal Allahyarham Farid.

Dalam PRU tahun lalu, PH meraih 366 undi di sini, sementara BN 844, dan PAS 93.

7.50 pagi: SK Telok Kerang, Pontian Johor: Calon PH Karmaine Sardini tiba di pusat mengundi.
Karmaine dilihat menyapa pengundi yang sudah beratur seawal 7.30 pagi tadi.

Setakat ini cuaca dilaporkan baik namun mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia semalam cuaca dijangka hujan lebat pada sebelah petang.

Salah seorang pengundi Aminah Kasdi, 89, yang berkerusi roda serta ditemani cucunya antara yang terawal hadir bagi membuang undi di sekolah ini.

Pada pukul 8.04 minit, Karmaine selesai membuang undi. Ketika ditemui pemberita, Karmaine berkata dia gembira dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dan calon.

Tiada ulasan: