Sabtu, 30 November 2019

170 tak dapat berkhatan

Nurul Fatihah Sulaini
 
 

HASRAT 170 kanak-kanak mahu menyertai acara berkhatan di Kompleks Pendidikan Tahfiz An Nur Besut, Alor Keladi di Jertih tidak kesampaian apabila terkandas dalam banjir.

Pengerusi Kompleks Pendidikan Tahfiz An Nur Besut Dr Riduan Mohd Nor berkata, program itu yang membabitkan keseluruhan 270 peserta dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula semalam dan berakhir hari ini.

“Semalam, hanya 100 orang sahaja hadir dan selebihnya terpaksa tangguh kerana jalan dari kawasan kampung mereka ke pusat tahfiz ini dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan.

“Ada juga beberapa keluarga peserta terpaksa bermalam di pusat pemindahan sementara (PPS) antaranya di Bukit Payong dan kawasan berhampiran kerana terkandas banjir,” katanya hari ini.

Dr Riduan berkata, buat masa ini kawasan tahfiz masih belum dinaiki air kerana kedudukan agak tinggi berbanding kawasan lain.

“Kemungkinan program anjuran kami ini ditunda ke minggu depan jika keadaan cuaca semakin pulih serta baik.

“Program Khatan Perdana ini sudah dirancang sejak tiga bulan lalu dan kami tidak jangka tahun ini berlaku banjir besar dan lebih awal daripada jangkaan.

“Penyertaan untuk program ini besar kerana setiap peserta yang terdiri daripada kanak-kanak sekitar Besut hanya dikenakan bayaran RM10 untuk kain pelekat dan segala perbelanjaan lain ditanggung pihak penganjur,” katanya.

Tiada ulasan: