Ahad, 13 Oktober 2019

Wujud transaksi kewangan besar gerakkan program LTTE - Ayob

Kow Gah Chie dan B Nantha Kumar
 



Polis hari ini mendedahkan wujud transaksi kewangan dalam jumlah besar dipercayai untuk menggerakkan aktiviti berkaitan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Bagaimanapun Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay tidak mendedahkan secara terpeinci mengenai transaksi berkenaan.

“Disyaki dana tersebut digunakan untuk membiayai, mempromosi, merekrut dan menggerakkan program berkaitan LTTE,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Terdahulu, Ayob berkata setakat ini polis telah menahan 12 individu bagi mencegah penyebaran fahaman kumpulan militan itu di Malaysia.

Katanya, pihak polis turut merampas gambar-gambar pemimpin LTTE, buku, risalah dan bahan-bahan lain yang dikaitkan dengan kumpulan itu.

Ketika ditanya mengapa kini polis mahu bertindak sedangkan aktiviti berkaitan perjuangan Tamil di Sri Lanka bermula sejak tahun 1990-an, Ayob berkata pihaknya mendapati terdapat 'gelombang baru' gerakan itu di negara ini.

“Ada gelombang baru. Ada momentum untuk mewujudkan LTTE.

"Hampir semua negeri mempunyai cawangan (LTTE),” katanya.

Pada 10 Okt lalu, polis menahan tujuh individu termasuk Adun Gadek merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran kerana disyaki terlibat dengan kegiatan LTTE.

Difahamkan dua Adun berkenaan menghadiri majlis berkaitan LTTE di Melaka tahun lepas yang dikenali sebagai Hari Perwira.

Acara itu merupakan majlis tahunan yang diadakan sejak 1990-an di beberapa bandar utama di Malaysia bagi memperingati mangsa perang saudara di Sri Lanka.

Polis hari ini berkata lima lagi ditahan termasuk dua individu dipercayai penganjur acara tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan 12 suspek ditahan setakat ini.

Mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma.


Tiada ulasan: