Ahad, 13 Oktober 2019

Wajib sokong Palestin, haram sokong LTTE, kata Hadi

MALAYSIAKINI

   

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan rakyat Malaysia wajib menyokong perjuangan rakyat Palestin tetapi haram menyokong kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) Sri Lanka.

"Wajib bagi Malaysia menyokong perjuangan Palestin dan haram bersimpati dengan kumpulan Tamil Eelam.

“Wajib (bagi kerajaan) mengawal rakyatnya supaya tiada sebarang hubungan dan simpati dengan kumpulan haram itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Hadi menjelaskan perjuangan rakyat di Palestin tidak boleh disamakan dengan LTTE kerana perjuangan di Asia Barat itu berkonsepkan mempertahan serta menuntut hak yang sah.

LTTE pula, kata anggota parlimen Marang berkenaan, merupakan kumpulan pemberontak yang ingin mewujudkan negara sendiri di Sri Lanka.

Menurutnya lagi, kewujudan segelintir individu yang bersimpati dengan golongan pemberontak LTTE itu di negara ini memalukan Malaysia malah boleh dianggap pengkhianat.

“Kalangan rakyat yang ada hubungan dengan kumpulan itu sangat memalukan, tidak menghormati dan tidak setia kepada negera sendiri,” katanya.

Sejumlah 32 negara termasuk AS, India, United Kingdom, Kesatuan Eropah, Kanada dan Australia menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Issu LTTE kembali hangat apabila dua Adun DAP, P Gunasekaran dan G Saminathan ditahan di bawah Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) kerana didakwa mempunyai kaitan dalam mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana melibatkan LTTE.

Dua Adun tersebut antara tujuh individu yang didakwa terlibat dengan LTTE, yang ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan wilayah Tamil Eelam di Sri Lanka.


Tiada ulasan: