Rabu, 9 Oktober 2019

Tun M tolak pelawaan Mat Hassan tubuh k’jaan baru bersama BN, PAS

THE MALAYSIAN TIMES

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menolak pelawaan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hassan untuk menubuhkan kerajaan baru bersama Barisan Nasional (BN) dan PAS.

“Negara kita berbilang kaum. Dan semua kaum punyai hak dalam negara kita,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mohamad yang mencadangkan Dr Mahathir supaya menubuhkan sebuah kerajaan baru sekiranya perdana menteri itu benar-benar ikhlas mahu memulihkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Saya bersetuju gesaan Tun Mahathir agar orang Melayu dan Islam bersatu. Cumanya kita tertanya-tanya, penyatuan yang bagaimana?

“Jika benar beliau jujur dan ikhlas, mahu kedudukan Melayu dan Islam dipulihkan dan diperkasakan, esok juga beliau boleh menubuhkan sebuah kerajaan baru dengan kerjasama BN, PAS dan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak,” kata Mohamad dalam satu kenyataan semalam.

Mohamad turut berkata Umno dan PAS harus diberi peranan yang signifikan dalam memulihkan negara ini.

“Kita tidak mahu menjadi sekadar penumpang sahaja, sehingga menjejaskan kepentingan Islam dan masyarakat Melayu serta pribumi lain.

“Saya yakin Umno dan PAS tiada masalah untuk menerima penyertaan Tun Mahathir dan Bersatu ke dalam agenda besar umat Melayu Islam ini,” katanya.

Tiada ulasan: