Isnin, 14 Oktober 2019

Selain LTTE, Ramasamy mahu Putrajaya bentang kertas putih 1MDB, Zakir Naik

Nur Hasliza Mohd Salleh
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mencadangkan Putrajaya membentangkan kertas putih berhubung 1MDB, pendakwah kontroversi dari India Dr Zakir Naik dan warganegara Malaysia menjadi pejuang IS di Syria, selain kumpulan pemisah Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disarankan PAS.

“Ia (kertas putih) tidak boleh dilakukan pada LTTE (saja). Saya juga meminta kerajaan menyediakan kertas putih berhubung 1MDB dan siapa bermanfaat daripada wang itu dan berapa banyak yang diterima oleh PAS?

“Mengenai Zakir Naik, mengapa memberi perlindungan kepadanya? Adakah Zakir Naik terlibat dalam kegiatan pengganas antarabangsa?” katanya di lobi Parlimen hari ini.

“Adakah dia mempengaruhi pengeboman di Colombo baru-baru ini dan juga di Dhaka dua hingga tiga tahun lalu?” soalnya merujuk pengeboman Paskah di Sri Lanka pada 21 April lalu dan serangan pengganas di Dhaka, Bangladesh pada 2016.

Ramasamy berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang menggesa kerajaan membentangkan kertas putih mengenai penyebaran ideologi, rangkaian organisasi dan kegiatan individu disyaki terbabit dalam LTTE.

Takiyuddin dilaporkan berkata, isu itu menjadi kepentingan umum susulan 12 individu, termasuk dua Adun dan dua ahli DAP yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 kerana didakwa ada kaitan dengan kumpulan pemisah itu.

Pengeboman Paskah yang menyasarkan beberapa gereja dan hotel di Sri Lanka mengorbankan lebih 290 nyawa pada April lalu.

Pada 2 Mei lalu, media melaporkan dua pengendali kabel televisyen terbesar di Sri Lanka, Dialog dan SLT mengeluarkan Peace TV milik Naik yang berpangkalan di Dubai daripada senarai saluran mereka kerana mendakwa ia “sering digunakan perekrut IS untuk indoktrinasi dan membasuh otak belia”.

Peace TV turut diharamkan di Bangladesh dan India susulan serangan maut di Dhaka tiga tahun lalu.
Pada 18 Sept lalu, sebuah mahkamah khas di Mumbai mengeluarkan waran tidak boleh jamin yang baru ke atas Naik berkaitan dakwaan kes pengubahan wang pada 2016.

Sebelum ini, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia tidak akan menghantar Naik yang merupakan penduduk tetap di negara ini, pulang ke India walaupun New Delhi mengemukakan permohonan ekstradisi dan kedua-dua negara mempunyai triti ekstradisi.

Pada 10 Okt lalu, Ramasamy dilaporkan berkata, beliau percaya penahanan dua Adun DAP di Negeri Sembilan dan Melaka mungkin dibuat atas desakan penyokong Naik.

Beliau mendakwa Naik dan “pengikutnya” berusaha habis-habisan untuk merosakkan namanya dengan menggelarnya pengganas serta menggunakan semula gambar lamanya menyertai misi damai ke Sri Lanka 10 tahun lalu.

Ramasamy berkata, beliau tidak pernah menafikan polis mempunyai bukti atas penahanan 12 individu itu, tetapi beliau mahu bukti itu dibawa ke mahkamah.

“Saya rasa penggunaan Sosma adalah salah. Sosma perlu dimansuhkan dan ini ada dalam manifesto Pakatan Harapan.”

Tiada ulasan: