Jumaat, 11 Oktober 2019

RM575j bantu 137,000 warga emas

MALAYSAKINI

   

Sebanyak RM575 juta akan disediakan untuk bantuan sosioekonomi yang memanfaatkan 137,000 warga emas dengan pendapatan isi rumah di bawah garis kemiskinan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini berkata kerajaan juga akan memperuntukkan sebanyak RM4.6 juta kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) untuk menampung perbelanjaan 129 pusat di seluruh negara yang memberi manfaat kepada 37,000 warga emas.

“RM80 juta juga diperuntukkan untuk menaik taraf, membaiki dan menyelenggara 67 pelbagai institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk pusat jagaan kanak-kanak, orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas,” katanya.

Selain itu, Lim berkata sejumlah RM25 juta diperuntukkan untuk mengurus, mentadbir dan memperluaskan program Food Bank ke seluruh negara.

Katanya program Food Bank adalah inisiatif bagi mengagihkan semula sebanyak 3,000 tan metrik makanan lebihan yang diderma setiap hari kepada kumpulan sasaran yang memerlukan terutamanya golongan B40.

Lim berkata sebanyak RM20 juta pula diperuntukkan untuk lima Pusat Latihan Berdikari baharu, program latihan bagi Sindrom Down dan taman asuhan kanak-kanak OKU.

“Dalam masa sama, perkhidmatan latihan dan tunjuk ajar yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan latihan kepada golongan OKU akan dikecualikan cukai perkhidmatan,” katanya.

Selain itu, katanya sebanyak RM15 juta diperuntukkan kepada Agensi Antidadah Kebangsaan bagi melaksanakan program rintis bersama badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan bagi meningkatkan keberkesanan program pemulihan dadah.

Mengambil berat kebajikan golongan gelandangan, Lim berkata kerajaan memperuntukkan RM4.5 juta untuk Anjung Singgah pada tahun depan yang memanfaatkan 7,000 gelandangan.- Bernama


Tiada ulasan: