Selasa, 15 Oktober 2019

PTPTN langsung tak disebut dalam Belanjawan, krik krik… – Khairy

Wartawan MalaysiaGazette
MGF16072019_SIDANG-PARLIMEN_36
Khairy Jamaluddin


KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini menarik perhatian sidang Dewan Rakyat tentang beberapa perkara yang langsung tidak disentuh dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu.

Ketika membahaskan usul Belanjawan 2020, Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan berkata, antara yang tidak disebut adalah bauncar buku sedangkan isu itu telah disentuh dalam dialog antara Menteri Pendidikan dengan penuntut di Universiti Malaysia Kelantan.

Seperkara lagi, kata Khairy, belanjawan kali ini juga langsung tidak menyebut perkataan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Ini ucapan belanjawan yang bersejarah, kerana ini mungkin ucapan belanjawan petama dalam tempoh 10, 20 tahun yang langsung tidak menyebut PTPTN.

“Langsung tidak disebut kerana malu nak sebut sebab manifesto tidak dapat ditunaikan,” katanya sambil disampuk oleh salah seorang ahli Parlimen yang berkata, “tak berani nak sebut.”

Khairy berkata, jika tidak mampu ditunaikan sekali pun sekurang-kurangnya PTPTN disebut dalam belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu.

Katanya, semasa Barisan Nasional memerintah, PTPTN akan disebut dalam belanjawan dan para peminjam diberi diskaun juga membuat pembayaran secara konsisten tetapi sekarang ia langsung tidak disebut.

“Sesi libat urus menteri pendidikan kata nak keluarkan kerangka dasar baru PTPTN, krik krik… langsung tidak disebut di dalam belanjawan kali ini,” katanya.

Manifesto Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 menjanjikan penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam bergaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: