Isnin, 14 Oktober 2019

Mana projek impak tinggi untuk Kelantan, Terengganu, soal Ismail




KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) menyifatkan Belanjawan 2020 sebagai “kritikal”, mengatakan tiada projek berimpak tinggi untuk pantai timur Semenanjung, khususnya Kelantan dan Terengganu.

“Kelantan dan Terengganu diabaikan tanpa sebarang projek berimpak tinggi,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2020 yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng minggu lepas di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail menegaskan Kelantan dan Terengganu sepatutnya mendapat projek-projek berimpak tinggi untuk membantu pembangunannya memandangkan pendapatan per kapita rakyatnya dikatakan amat rendah.

Beliau mengingatkan merapatkan jurang antara Kelantan dan Terengganu dan negeri-negeri lain ada disebut dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) yang dibentangkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat pada Okt tahun lepas.
“Kita nak tanya menteri kewangan adakah ini hukuman kepada Kelantan dan Terengganu yang memberi undi kepada PAS?” katanya.

Takiyuddun Hassan (PAS-Kota Bharu) bangun mencelah dan berkata apa yang menarik dalam Belanjawan 2020 hanya sebuah sekolah baru di Tumpat, Kelantan dan Marang, Terengganu.

Beliau juga tertanya apakah projek-projek yang telah diluluskan menerusi belanjawan terdahulu, seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, telah diberi kepada kontraktor.

“Apabila kerajaan kerajaan PH datang, mereka buka tender baru, dan dalam Belanjawan 2020 hilang tidak disebut. Apakah perkara ini wajar?” katanya.

Sementara itu, Ismail mencadangkan Putrajaya memberikan royalti minyak 20% kepada Kelantan dan Terengganu oleh kerana tiada projek berimpak tinggi.

Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) bangun mencelah dan berkata sehingga kini tiada bayaran royalti walaupun janji telah dibuat.

“Saya nak rujuk apa dicadangkan, royalti sampai 20%, masalahnya lima peratus juga belum diberikan,” katanya.

Ismail kemudian meminta isu royalti minyak dimasukkan dalam ucapannya untuk dijawab menteri kewangan.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) kemudian bangun untuk mempersoalkan pendirian Ismail kerana kerajaan dulu tidak pula membayar royalti kepada Kelantan selama 60 tahun memerintah.

Ismail merupakan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah dalam pentadbiran Najib Razak.

Ketua pembangkang menjelaskan Kelantan menerima bayaran daripada kerajaan persekutuan dalam bentuk wang ehsan, dan Barisan Nasional tidak pernah berjanji untuk memberikan royalti kepada negeri itu.

“PH berjanji, itu bezanya. Kalau janji mesti ditepati, itu sebab Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak tuntut,” tambahnya.

Ismail percaya keempat-empat negeri itu sukar meyakini Belanjawan 2020 kalau manifesto Pakatan Harapan “tipu”.

“Saya yakin Belanjawan 2020 akan gagal,” katanya.

Tiada ulasan: