Isnin, 14 Oktober 2019

Loke: Keputusan projek RTS akhir bulan ini

Mei lepas, Malaysia dan Singapura secara rasmi menandatangani 
perjanjian tambahan untuk menangguh pembinaan RTS 
sehingga 30 Sept tahun ini.

JOHOR BAHRU: Keputusan meneruskan pembinaan projek laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura akan diumum menjelang hujung bulan ini.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, buat masa ini, beliau belum boleh memberikan maklumat lanjut berhubung projek itu memandangkan cara pelaksanaannya akan diputuskan oleh Kabinet dalam masa terdekat.

“Dalam Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guang Eng sudah menyatakan hasrat kerajaan untuk meneruskan RTS.

“Itu petanda awal sokongan kerajaan terhadap projek ini, tetapi saya tidak boleh beri maklumat lanjut sebab ia akan dibawa dan diputuskan dari segi cara pelaksanaan oleh Kabinet dalam seminggu dua ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Pelabuhan Lembaga Pelabuhan Johor 2019, di sini hari ini.

Loke berkata, selepas diluluskan Kabinet, beliau akan menghubungi rakan sejawatnya, Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan memandangkan projek tersebut melibatkan kedua-dua negara.

“Selepas itu, kita (kerajaan pusat) yakin bahawa satu pengumuman rasmi akan dapat dibuat menjelang akhir bulan ini. Kita komited dengan tarikh akhir 31 Oktober, maka, satu pengumuman rasmi dapat dibuat menjelang tarikh itu,” katanya.

Menurut Loke, beliau juga akan mencadangkan kepada Khaw supaya pengumuman terbabit dilakukan di bandar raya ini.

Mei lepas, Malaysia dan Singapura secara rasmi menandatangani perjanjian tambahan (SA) untuk menangguh pembinaan RTS sehingga 30 September tahun ini.

Loke dilaporkan berkata, Malaysia akan membayar balik sebanyak RM2 juta kepada Singapura pada 31 Julai 2019, sebagai kos kegagalan yang ditanggung akibat daripada penggantungan selama enam bulan.

Bulan lepas, Malaysia memohon tempoh lanjutan sehingga 31 Okt ini untuk keputusan mengenai projek yang akan mengatasi kesesakan lalu lintas untuk perjalanan ulang-alik antara keduda-dua negara itu setiap hari.

Menurut laporan akhbar tempatan, Malaysia mengemukakan permohonan lanjutan itu semasa perjumpaan antara Loke dengan Khaw di Sepang, Selangor, bulan lepas.

Tiada ulasan: