Jumaat, 18 Oktober 2019

Kami bertindak ikut undang-undang, SPRM beritahu Ahmad Maslan

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pengiraan jumlah nilai yang perlu dikembalikan oleh penerima notis kompuan yang didakwa menerima dana 1MDB dibuat mengikut undang-undang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki berkata, pengiraan itu sudah dijelaskan dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

“Kita mengikut undang-undang, bukannya suka-suka. Apa yang dikatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya adalah apa yang mengikut undang-undang.

“Kalau ada yang pertikaikan cara pengiraan itu, terpulang, setahu kita, tidak ada silap pengiraan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Azam berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan yang mempertikai jumlah dana yang diterima dan jumlah wang dituntut SPRM.

Sebelum ini, SPRM bertindak mengeluarkan notis kompaun terhadap 80 individu dan entiti yang dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

Latheefa, berkata notis dikeluarkan mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Seramai sembilan individu termasuk adik Najib Razak, Nazir, juga bekas pengerusi Kumpulan CIMB, Ahmad dan bekas pengerusi Felda Shahrir Samad, di samping 43 entiti politik dan 23 syarikat disenaraikan menerima sehingga RM420 juta daripada 1MDB.

Menyentuh mengenai perkembangan terkini kompaun berkenaan, seramai 10% penerima memberi persetujuan untuk membayar semula dana tersebut.

“40% menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM, 45% hantar surat untuk membuat rayuan manakala tiga individu tidak mahu menerima serahan notis kompaun berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azam memaklumkan SPRM sudah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi mengesan aset milik 1MDB di seluruh dunia.

“Pasukan ini akan mengesan aset dan mengenal pasti penyiasat di setiap negara untuk bekerjasama dalam usaha ini,” katanya.

Tiada ulasan: