Jumaat, 11 Oktober 2019

Jangan kaitkan LTTE dengan isu agama


Wartawan MalaysiaGazette


MGF25082019_IKATAN_01
Shahir Adnan
 

KUALA LUMPUR – Penglibatan pemimpin DAP yang menyokong gerakan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) yang diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Malaysia adalah membimbangkan.

Tambahan pula DAP merupakan antara parti politik terbesar dalam gabungan Pakatan Harapan dan anggota Kabinet Kerajaan Malaysia.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan yang merakam ucapan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak ke atas dua wakil rakyat DAP iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, turut menyelar Lim Guan Eng yang membuat kenyataan bahawa tiada pemimpin atau wakil rakyat dari DAP akan disasarkan.

Kenyataan Setiausaha Agung DAP itu seolah-olah beliau memegang portfolio Menteri Dalam Negeri.

“Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir untuk tidak berganjak menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 SOSMA. Akta ini sememangnya diperlukan untuk menghalang pengganas bertindak sewenang-wenangnya di dalam negara kita.

“Polis semestinya mempunyai bukti kukuh untuk membuat penahanan tersebut dan dimaklumkan bahawa risikan dan siasatan ke atas semua suspek telah dilakukan sejak November tahun lepas. Lim Guan Eng dinasihatkan tidak mencampuri urusan pihak polis,” katanya di sini.

Lantaran itu, DPIM berharap isu keselamatan negara tidak dipolitikkan oleh DAP.

DPIM turut melahirkan terkilan dengan kenyataan beberapa pemimpin DAP yang menyamakan “pejuang LTTE” seperti perjuangan Palestin.

Tegas Shahir, harus diingat bahawa pengganas LTTE adalah sama seperti pengganas Al-Qaeda dan ISIS.

“Mereka tidak ada ruang di dalam negara Malaysia dan ideologi pengganas seharusnya dihapuskan.

“Pemimpin DAP jangan menjadikan isu LTTE sebagai isu agama atau perkauman kerana keganasan tidak kenal agama atau warna kulit,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: