Isnin, 14 Oktober 2019

Guan Eng ulangi, ‘BN curi bayaran balik GST’

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada tahun lalu mendakwa 
pentadbiran BN telah “mencuri” wang rakyat sebanyak RM19.4 
bilion hasil bayaran balik GST.
 
KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Lim Guan Eng sekali lagi menegaskan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) telah “mencuri” bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang sepatutnya dikembalikan kepada pembayar cukai.

Beliau berkata, keadaan itu mewajarkan dividen khas sebanyak RM30 bilion yang diterima kerajaan daripada syarikat minyak kebangsaan, Petronas tahun lepas.

“Saya mengambil pengecualian untuk menggunakan perkataan ‘serbuan’ kerana kami menggunakan dividen daripada Petronas untuk membayar balik GST.

“Ini pada awalnya dicuri oleh kerajaan sebelumnya kerana mereka menggunakannya dan tidak mengembalikannya kepada pembayar cukai,” katanya dalam sesi soal jawab pada Forum Bajet 2020 di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya moderator forum apakah jaminan bahawa Putrajaya tidak akan ‘mengganggu’ Petronas lagi.

Lim berkata, paling penting kerajaan telah membayar balik kepada peniaga dan ia tidak diperoleh mereka dalam tempoh lima tahun yang lalu.

“Tetapi kenapa ini tidak ditonjolkan sebelum ini?

“Ini tanda keyakinan yang sangat kuat terhadap komitmen kerajaan untuk menghormati janjinya,” kata beliau.

Tahun lalu, Lim mendakwa di Dewan Rakyat, pentadbiran BN telah “merompak” wang rakyat sebanyak RM19.4 bilion hasil bayaran balik GST.

Bagaimanapun Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibuat untuk meneliti isu itu mendapati tidak ada bayaran balik GST yang hilang.

Sebaliknya, wang tersebut dipindahkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan, bukannya Akaun Bayaran Balik GST dan digunakan untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan kerajaan.

PAC berkata, pemindahan dana itu melanggar Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014, walaupun bekas perdana menteri Najib Razak menegaskan bahawa akta tersebut membenarkannya.

Dalam pada itu, Lim menolak kebimbangan mengenai peralihan kuasa di Putrajaya dengan berkata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim “berpuas hati” mengenai perkara itu.

“Kenapa orang lain tidak berpuas hati? Mereka sangat konsisten sepanjang 16 bulan yang lalu,” katanya.

Mengulas mengenai kadar cukai pendapatan baru sebanyak 30% bagi mereka yang memperoleh pendapatan RM2 juta setahun, Lim berkata, ia sebenarnya adalah cadangan Bank Dunia.

Katanya, Bank Dunia berpendapat kadar cukai Malaysia ke atas golongan kaya adalah terlalu rendah.

“Walaupun dengan cadangan itu, kadar kita masih terlalu rendah berbanding dengan negara lain.

“Cadangan Bank Dunia adalah 35%, tetapi kerajaan berpendapat kenaikan itu terlalu banyak,” katanya.

Lim juga berkata, kerajaan dijangka memungut kira-kira RM100 juta daripada kadar cukai baru itu iaitu peningkatan sebanyak dua peratus berbanding kadar 28 peratus sebelum ini.

Beliau juga berkata kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan cukai warisan.

Tiada ulasan: