Selasa, 8 Oktober 2019

Manifesto PH sebenarnya berita palsu, kata Ahmad Maslan



Ahmad Maslan melabelkan manifesto PH pada PRU14 tahun 
lalu sebagai berita tidak benar.
 
KUALA LUMPUR: Bekas timbalan menteri kewangan, Ahmad Maslan melabelkan manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai berita palsu kerana banyak janji gagal dipenuhi.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, antara janji yang gagal dipenuhi PH ialah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat penyelewengan yang didakwa berlaku di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

“Bukan saja berita tidak benar, ada juga manifesto yang tidak benar, itu satu perkara yang berlaku dan menyakitkan dalam negara kita.

“Mereka kata nak laksana 10 perkara dalam 100 hari, sekarang hampir 500 hari tak dilaksanakan, ini adalah manifesto yang menjadi berita tidak benar.

“Mereka ingin menubuhkan RCI 1MDB ada buat? RCI Felda ada buat? Ini berita tidak benar. RCI Mara, Tabung Haji, ini manifesto tidak benar,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undag Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad turut membangkitkan janji PH menawarkan pendidikan percuma, memansuhkan tol dan menurunkan harga minyak yang gagal ditunaikan sehingga kini.

“Apa yang berlaku? Tidak benar, tidak benar,” katanya merujuk janji dibuat PH menerusi manifesto pada PRU14.

Sementara itu, Ahmad menafikan beliau pernah menerima dana 1MDB seperti yang didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Tidak benar,” katanya.

RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian bangkit mencelah dengan berkata, beliau sedia menawarkan perkhidmatan guaman percuma kepada Ahmad, sekiranya wakil rakyat BN itu berani menyaman SPRM.

“Ada orang yang saya boleh percaya dan ada orang yang saya tidak percaya,” kata Ahmad menolak tawaran Rayer.

Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof berkata, kes itu tidak boleh dibincang dalam Dewan Rakyat kerana SPRM sedang menyiasatnya.

Tiada ulasan: