Rabu, 9 Oktober 2019

Dewan Rakyat kecoh wakil rakyat label ‘kecil besar, gemuk kurus’





KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat kecoh selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin membuat komen mengenai rupa Azalina Othman (BN-Pengerang), menjawab komen pemimpin Umno itu mengenai saiz timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Ketika kejadian, Hanipa, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, sedang menggulung pembentangan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019, apabila Azalina minta mencelah.

Azalina bangun dan berkata beliau sedang memasang cermin mata tadi kerana nak tengok Hanipa dengan jelas, “yang kadang-kadang nampak kecil, yang kadang-kadang nampak besar”.

Hanipa membiarkan pemimpin Umno itu menghabiskan hujahnya, dan kemudian bangun berkata Azalina “kadang-kadang nampak gemuk, kadang-kadang kurus. Macam Pengerang kejap nampak perempuan, kejap nampak lelaki.”

“Kamu menghina, YB. Jangan menghina,” balas Azalina, disusuli dengan wakil-wakil rakyat pembangkang yang mahu Hanipa menarik balik komennya.

Timbalan Speaker Rashid Hasnon juga meminta Hanipa menarik balik komen itu.

“Timbalan menteri tarik balik kenyataan itu, minta ucapan dirumuskan elok-elok,” katanya.

Azalina dalam celahannya berhujah kerajaan wajar mengekalkan Akta Antiberita Tidak Benar, mengatakan ia undang-undang yang adil, membuat perbandingan dengan akta sepertinya di Singapura.

“Saya bandingkan dengan Singapura kerana di Singapura yang menentukan berita palsu ialah menteri…berbanding Malaysia yang mana RUU itu lebih adil kerana yang menentu mahkamah.”

“Di Malaysia, akta ini juga membenarkan mana-mana individu pergi mahkamah membuat rujukan sesuatu berita itu benar atau tidak benar,” katanya.


Tiada ulasan: