Jumaat, 11 Oktober 2019

Cheng Hoe kecewa 'taring Harimau Malaya tumpul' di Vietnam

MALAYSIAKINI

   
Ketua Jurulatih Skuad Kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui jentera serangan negara gagal berfungsi di tahap terbaik ketika Malaysia tewas 0-1 pada aksi Kumpulan G, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, Vietnam semalam.

Cheng Hoe yang kecewa dengan keseluruhan persembahan kurang memuaskan anak buahnya berkata pasukannya tidak mempunyai kreativiti seperti yang ditonjolkan dalam dua aksi terdahulu ketika menentang Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Namun, pengendali berusia 51 tahun itu menjelaskan disiplin bertahan yang tinggi oleh pasukan Vietnam turut mempengaruhi perlawanan tersebut.

“Malam tadi keseluruhannya pasukan kita tak bermain di tahap yang seperti kita harapkan macam kita lawan UAE. Kita tak gunakan kekuatan sebenar kita

"Bahagian serangan kita agak tumpul, kreativiti nak dapatkan gol tu yang sedikit sebanyak menjejaskan pasukan kita. Dari segi komitmen dan semangat berjuang tidak ada masalah,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Noin Bai, Hanoi di Vietnam, hari ini.

Cheng Hoe tidak menghadiri sidang media selepas perlawanan semalam dan tugas beliau digantikan pembantu jurulatih, S Balachandran.

Kekalahan skuad negara kendalian ketua jurulatih Tan Cheng Hoe menyaksikan Vietnam mengekalkan rekod tanpa kalah menentang Malaysia di Hanoi sejak kali terakhir tewas 2-4 pada separuh akhir kedua Kejuaraan Piala AFF 2014.

Selepas tiga perlawanan, Malaysia kini di kedudukan keempat dengan mengumpul tiga mata, sementara Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengungguli saingan kumpulan dengan enam mata selepas membelasah Indonesia 5-0 dalam aksi kedua mereka semalam.

Thailand dan Vietnam masing-masing berkongsi empat mata di kedudukan kedua dan ketiga selepas mengharungi dua perlawanan.

Malaysia akan meneruskan saingan kumpulan apabila perlu berhadapan kunjungan Thailand pada 14 November dan Indonesia (19 November) di Stadium Nasional Bukit Jalil.- Bernama


Tiada ulasan: