Rabu, 9 Oktober 2019

Azis: Tak perlu RCI siasat sindiket MyKad buat masa ini





KUALA LUMPUR: Tiada keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RC) untuk menyiasat kes sindiket menjual MyKad buat masa ini memandangkan kes itu masih dalam siasatan polis dan suspek sedang dituduh di mahkamah, kata Kementerian Dalam Negeri.

Timbalan Menteri Mohamad Azis Jamman meminta ahli-ahli Dewan Rakyat supaya membiarkan proses itu berjalan.

“Kalau rasa perlu wujud RCI, kita akan fikirkan,” katanya menjawab pertanyaan Ahmad Jazlan Yaakub (BN – Machang), yang mencadangkan kerajaan mewujudkan RCI bagi menyiasat kes itu.

Pada Sept, polis menahan 20 individu terlibat dalam kegiatan menjual MyKad menggunakan butiran individu yang sudah meninggal dunia, disyaki didalangi seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sindiket terbongkar susulan laporan Jabatan Imigresen Pulau Pinang berhubung seorang wanita China berusia 25 hingga 30 tahun yang mahu membuat pasport Malaysia menggunakan MyKad sah.

Azis turut mengulas jumlah individu yang dibatalkan hak kewarganegaraan berhubung kes itu.

“Sehingga hari ini 11 orang telah disenarai hitam dan proses penyiasatan ini masih kita jalankan,” katanya.

Tiada ulasan: