Jumaat, 18 Oktober 2019

‘Masih ramai hisap rokok, guna telefon ketika isi minyak’

MALAYSIAKINI
 
 
 
Pengusaha stesen minyak bertanggungjawab memastikan tahap keselamatan persekitaran premis mereka berada di tahap yang terbaik termasuk dari segi kelengkapan peralatan pemadam api supaya dapat mengurangkan risiko kemalangan jiwa dan harta sekiranya berlaku kebakaran.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata, peranan itu perlu dikongsi bersama oleh pengguna dengan mengelak daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mencetuskan kebakaran.

“Kita lihat masih ada lagi pengguna yang menghisap rokok dan menggunakan telefon bimbit ketika mengisi minyak, ini boleh menyebabkan kebakaran seterusnya membahayakan keselamatan semua orang yang berada di premis itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Kesedaran Keselamatan Petroleum peringkat Wilayah Kuala Lumpur, hari ini.

Mereka yang didapati merokok di kawasan stesen minyak boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun sekiranya sabit kesalahan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jalil, Jalailudin Abdul Mubin pula menyarankan pengusaha stesen minyak agar meletakkan iklan video berkaitan langkah-langkah keselamatan termasuk cara menggunakan alat pemadam api supaya dapat ditonton pengguna ketika sedang mengisi minyak.

"Ini kerana bukan semua orang tahu cara mengendalikannya. Perlu juga memaparkan bagaimana untuk kenal pasti bahan punca kebakaran antaranya pepejal, cairan seperti petrol dan peralatan elektrik," katanya.

Kempen kesedaran itu merupakan program tahunan KPDNHEP dengan syarikat-syarikat pengusaha minyak, dan kempen di peringkat Wilayah Kuala Lumpur tahun ini melibatkan kerjasama dengan syarikat Chevron Malaysia Limited.- Bernama


Kaji selidik projek LRT Pulau Pinang: 15k setuju, 380 bantah - KM

 

Maklum balas awam mengenai projek transit light transit (LRT) yang dirancang jajaran laluannya dari Komtar ke Bayan Lepas di Pulau Pinang, mencatatkan kira-kira 16,140 jawapan, dengan 15,760 berkata 'ya' kepada projek itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pada sidang akhbar di Komtar hari ini bahawa hanya 380 responden, atau hanya 2.35 peratus, telah membantah projek itu. Angka itu hanya merupakan bahagian pertama dalam tempoh tiga bulan mendapatkan maklum balas melibatkan orang awam.

Keputusan maklum balas awam ini berdasarkan tempoh dari 19 Ogos hingga 19 November, telah dibentangkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat pada 10 Oktober.

"Rakan penghantaran projek kami (SRS Consortium) telah diarahkan untuk menyediakan jawapan kepada semua soalan yang telah ditanya dalam soal selidik yang disediakan pada paparan pameran awam," kata Chow.

Diminta mengulas kenyataan Forum Pulau Pinang bahawa soal selidik itu "direka" dengan cara untuk mendapatkan tindak balas yang positif terhadap projek tersebut, Chow tidak bersetuju.

"Para responden boleh memberi maklum balas dengan cara apapun, (menjawab) 'ya' atau 'tidak' kepada projek itu. Ia tidak perlu direka," katanya.

"Kerajaan Pulau Pinang tidak terlibat dalam menyediakan soal selidik, ia dilakukan oleh para perunding.

"Selain itu, kami tidak mendapat sambutan positif 100 peratus, kerana ada orang yang tidak bersetuju dengan projek berkenaan," jelas Chow.

Projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar-Bayan Lepas, yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) itu dijangka bermula pada tahun hadapan.

Bermula sebagai sebuah projek yang digagaskan oleh negeri itu, PTMP dijangka akan menelan belanja sebanyak lebih kurang RM46 bilion.

Ia akan mempunyai jaringan bas serta terowong yang menghubungkan pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT dan monorel.

SRS Consortium merupakan sebuah usaha sama antara Gamuda Bhd, Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd, ia akan bertindak sebagai rakan kongsi penghantaran projek untuk PTMP dan Skim Tebus Guna Selatan.

Salah guna kuasa: SPRM tahan 2 pegawai Felda

Azam Baki (dua dari kiri) dan Latheefa Koya (tiga dari kiri) 
pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.
 
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai Felda yang didakwa menyalahgunakan kuasa mereka membabitkan Stadium Jengka di Pahang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Azam Baki berkata, penahahan dua individu itu dibuat oleh SPRM Pahang dan mengesahkan individu berkenaan masih direman.

“Memang ada tangkapan dibuat, kes ini masih baru disiasat, maklumat lanjut saya akan berikan kemudian. Dua individu ini direman selama lima hari,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Menurut Azam, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya bagaimanapun berkata, identiti individu berkenaan tidak akan didedahkan bagi tujuan keselamatan pihak berkenaan.

“Identiti individu memang tidak dapat didedahkan, kita hanya tahan, namun individu ini masih belum bersalah selagi kita tidak buktikan ia bersalah,” katanya.

Bekas ketua menteri Sabah Musa bebas 5 tuduhan rasuah

Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman daripada lima pertuduhan rasuah berjumlah AS$12.8 juta dalam transaksi berkaitan konsesi balak di negeri itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan pembebasan itu walaupun Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan.

Sequerah berkata, alasan yang diberikan Umar tidak meyakinkan.

“Pertuduhan itu tidak boleh dikekalkan terhadapnya. Saya perintahkan pembebasan.”

Bagaimanapun, Musa masih berdepan dengan 30 pertuduhan rasuah walaupun pendakwaan mengemukakan pindaan.

Musa yang dibenarkan duduk di kandang tertuduh atas faktor kesihatan, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Beliau merupakan ketua menteri Sabah dari 2003 hingga pilihan raya umum tahun lalu apabila Barisan Nasional hilang tampuk pemerintahan kepada Warisan yang diketuai Shafie Apdal.

Musa yang sebelum ini diikat jamin dengan RM2 juta, diwakili Francis Ng, Amer Hamzah Arshad, Ragunath Kesavan dan Joshua Teh.

Maszlee menari ikut rentak Najib, kata 'Superman'

MALAYSIAKINI



Penulis komik kontroversi berkenaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), Hew Kuan Yau mengkritik Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik kerana mengharamkan komik itu di sekolah.

Hew yang juga kurator Muzium Kebudayaan dan komik Asia di Pulau Pinang mendakwa menteri itu menari mengikut rentak bekas perdana menteri Najib Razak.

Meluahkan rasa tidak puas hatinya di media sosial, Hew berkata dia merangka dan menerbitkan komik itu dalam tiga bahasa untuk meningkatkan pemahaman rakyat terhadap BRI.

"Untuk menggalakkan pelajar untuk lebih tahu tentang BRI, (kami) menghantar komik itu secara percuma di setiap sekolah. Tidak wujud soal mencuci otak murid dan menyemai komunisme," katanya yang lebih dikenali dengan gelaran 'Superman'.

Bagaimanapun bekas ahli politik DAP itu berkata Maszlee segera mengarahkan sekolah agar tidak menerima komik itu - bertajuk Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama - sebaik selepas Najib membangkitkannya dan mendakwa DAP mengancam orang Melayu.

Dia bertanya sama ada Maszlee mengamalkan double standard dengan membangkitkan universiti awam yang dibenarkan menganjurkan Kongres Maruah Melayu baru-baru ini.

"Dia (Maszlee) membenarkan universiti menjadi tempat mencuci otak tetapi mengharamkan komik di pustaka sekolah. Inilah menteri pendidikan yang saya kenal," katanya yang juga ketua pegawai eksekutif Majlis Perniagaan China-Malaysia (JBC).
Pada Rabu lalu, Najib bertanya kepada Maszlee sama ada kementeriannya membenarkan komik itu diedarkan di sekolah.

Dia juga mendakwa Muzium Kebudayaan dan komik Asia didanai kerajaan Pulau Pinang dan menyebarkan propaganda di sekolah.

Selain itu, Najib berkata komik itu merendah-rendahkan dirinya dan keluarga, serta kerajaan BN.
Versi Bahasa Melayu komik itu diedarkan secara percuma di sekolah menengah vernakular dan kebangsaan.

Maszlee berkata kementeriannya tidak pernah mengeluarkan kebenaran mahupun kelulusan untuk pengedarannya.

"Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah telah diarahkan untuk memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran buku komik ini daripada mana-mana pihak atau pembekal.

"Sekolah merupakan institusi pendidikan yang neutral dan tidak seharusnya menjadi medan penyebaran propaganda politik," katanya.


IGP: Anggota polis benarkan penyeludupan dikenal pasti

 

 
Bukit Aman sudah mengenal pasti beberapa anggotanya yang dirakam dalam klip video membenarkan penyeludup memindahkan barang seludup di sempadan Thailand-Malaysia, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid memberitahu Malaysiakini bahawa Jabatan Integriti dan Standard (JIPS) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) telah melancarkan siasatan ke atas klip video itu sejak mereka menerimanya lewat bulan lepas.

Menurut Hamid, Bukit Aman sedang mengambil tindakan tatatertib ke atas anggota yang terlibat.
"Ya (kami telah memulakan siasatan). Pihak JIPS dan KDNKA Bukit Aman sudah pun menjalankan siasatan sejak lewat bulan lepas.

"Beberapa orang anggota polis yang terpapar sudah dikenal pasti. Tindakan tatatertib sedang dirangka," katanya.

Menurut Hamid, polis juga sudah memperkenalkan penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi anggota yang bertugas mengawal sempadan dan pintu masuk di seluruh negara.

Abdul Hamid menambah bahawa dengan SOP terbaru itu, beliau yakin kegiatan penyeludupan dapat dikurangkan secara drastik.

Beliau juga menyatakan bahawa Pasukan Gerakan Am (PGA) polis, yang ditempatkan di sempadan negara, juga berjaya mencapai kejayaan besar dalam mensasarkan sindiket penyeludupan.

Ini termasuk menangkap penyeludup, termasuk mereka yang cuba menyogok kakitangan, dan merampas sejumlah barangan haram, termasuk senjata api, dadah, dan haiwan eksotik.

"Sejak 4, 5 bulan lepas pihak PGA di sempadan telah mencatatkan banyak kejayaan menumpaskan sindiket seludup pelbagai kontraban, rokok, arak, dadah, haiwan eksotik, senjata api, pendatang tanpa izin serta menangkap penyeludup yang cuba menyogok dengan wang ringgit.

"Kesedaran mereka untuk bertugas dengan penuh integriti semakin terserlah. Dengan keluarnya arahan-arahan pentadbiran terbaru tentang SOP penugasan maka saya yakin kes-kes pembolosan di sempadan akan berkurangan secara drastik," katanya sambil menambah bahawa polis sentiasa bekerjasama dengan SPRM dan Majlis Keselamatan Negara.

Awal hari ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbar mendedahkan bahawa mereka telah menerima maklumat mengenai dakwaan rasuah di sempadan Thai-Malaysia, termasuk klip video yang menunjukkan anggota polis yang membenarkan penyeludup membawa barangan seludup mereka.


56 fasa projek PR1MA dibatalkan



sitifatimah 

Hasil audit dapati perbadanan perlu baiki kedudukan kewangan 

KUALA LUMPUR – Sebanyak 56 fasa projek pembangunan bernilai RM9.98 bilion di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) telah dibatalkan, menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

KPKT dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen memaklumkan, jumlah itu adalah sebahagian daripada 131 fasa projek yang telah dirancang sebelum ini dengan nilai RM25.64 bilion.

“Hasil pengauditan terhadap polisi, kewangan dan ‘business model’ PR1MA mendapati perbadanan itu perlu membaiki kedudukan kewangan untuk meneruskan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.

“Hasil penilaian yang telah dibuat menunjukkan hanya 75 fasa projek dapat diteruskan,” menurut kementerian itu dalam jawapan kepada Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) yang ingin tahu status terkini laporan hala tuju PR1MA dan senarai tindakan segera yang telah digariskan berdasarkan laporan tersebut.

KPKT berkata, status kemajuan di tapak untuk semua 75 fasa projek itu kini melebihi 50 peratus pembinaan dan mempunyai Lesen Pemajuan Perumahan Dan Permit Iklan Jualan (APDL).

Kementerian turut menyebut pelaksanaan pengauditan merupakan satu keperluan mendesak dalam usaha menjayakan rasionalisasi perumahan negara, dalam mengenal pasti kedudukan semasa setiap agensi perumahan di bawah KPKT.

Ia juga bagi mencadangkan struktur ‘business model’ baharu bagi agensi berkenaan iaitu PR1MA, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Program Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

Pada Ogos tahun lalu agensi-agensi perumahan iaitu PR1MA, SPNB, dan PPAM dipindahkan di bawah KPKT sebagai usaha rasionalisasi entiti perumahan negara. – Bernama

Negara stabil tanpa DAP, PAN

siti hafidah

 

Dominasi Melayu dalam PH tak kuat, menggusarkan banyak pihak

BANGI – Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menyambut baik idea – yang didakwa diketuai Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein – untuk mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Presiden Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, kerajaan baharu perlu dibentuk tanpa DAP dan PAN yang mana boleh membawa negara ini ke arah yang lebih stabil.

“Kerajaan baharu tanpa DAP dan PAN idea yang bagus dan kita menyokong idea itu kerana keadaan negara yang huru-hara disebabkan oleh permainan politik DAP yang melampau terutama sekali dalam menghilangkan identiti negara,” katanya ketika dihubungi Buletin Pertiwi semalam.

Badhrulhisham menjelaskan, sekiranya idea kerajaan baharu tanpa DAP dan PAN dilaksanakan, ianya tidak akan menjejaskan masalah dari segi politik kaum itu sendiri.

Katanya, kestabilan politik bergantung kepada sejauh mana kemampuan majoriti rakyat di Malaysia terutamanya orang Melayu dengan kerjasama bukan Melayu dalam memimpin negara.

“Sebenarnya sudah jelas sepanjang 62 tahun kita merdeka, rakyat dapat melihat kestabilan politik bergantung sejauh mana kemampuan majoriti rakyat di Malaysia dapat memimpin negara malah keadilan dapat dilaksanakan dengan penyertaan bukan Melayu.

“Saya rasa tidak ada masalah dan ini berlaku sebelum pemerintah PH lagi. Kita lihat dominasi orang Melayu dalam kerajaan PH ini tidak menjadi satu perkara yang kuat, maka negara dalam keadaan cukup menggusarkan banyak pihak, bukan sahaja dari segi politik malah ekonomi juga.

“Justeru, kepimpinan orang Melayu yang juga rakyat majoriti negara ini amat perlu dengan sokongan dan kerjasama bukan Melayu sekali gus akan menjadikan negara kukuh pada masa akan datang,” kata beliau.

Terdahulu, PH menerusi kenyataan mendakwa Hishammuddin menggerakkan pakatan mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP dan PAN. Dakwaan itu dibuat susulan penulisan Hishammuddin dan wawancaranya yang cenderung memberi isyarat akan kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum.

Bagaimanapun, Hishamuddin menafikan dakwaan itu dan menganggap berlaku keretakan dalam parti berkenaan sehingga cuba menjadikan pembangkang sebagai kambing hitam.


Ramasamy selar majlis profesor pertahan Zainal Kling

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.

PETALING JAYA: Pemimpin DAP P Ramasamy hari ini menyelar Majlis Profesor Negara kerana mempertahankan ahli akademik Zainal Kling berhubung kenyataannya pada Kongres Maruah Melayu baru-baru ini, dengan berkata, tidak banyak perubahan yang berlaku sejak majlis itu dijadikan entiti korporat.

“MPN mungkin telah mengubah pendaftarannya, tetapi ia masih dianggotai ahli akademik utama yang pernah berkubu di bawah Barisan Nasional,” kata Ramasamy yang merupakan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang dalam satu kenyataan.

“Seiring dengan kontroversi yang menyelubungi peranan MPN sebagai ‘pak turut’ kepada bekas kerajaan BN, wujud jangkaan ia mungkin akan memainkan peranan lebih kritikal selepas berubah menjadi sebuah entiti korporat.”

Semalam MPN berkata, kenyataan Zainal berhubung konsep kontrak sosial di kongres tersebut pada 6 Okt adalah “tepat dari sudut sejarah”.

Katanya, konsep itu “diisyaratkan secara tidak langsung” dan tidak ditulis secara langsung dalam Laporan Suruhanjaya Reid 1957, yang merupakan bahagian penting perlembagaan persekutuan.

Ia menegaskan bahawa ucapan Zainal tidak mengandungi apa-apa elemen mengapi-apikan yang boleh membawa kepada kerusuhan awam.

Ramasamy berkata, walaupun MPN mungkin tidak bersikap kritikal terhadap hal-ehwal berkaitan kongres itu, namun ia tidak dijangka memberikan “sokongan membuta-tuli” kepada Zainal.

“Pegawai MPN tahu bahawa ‘kontrak sosial” yang kabur itu lebih merupakan cebisan imaginasi Zainal,” katanya.

“Bagi orang seperti Zainal pemikiran khayalan begitu bukanlah sesuatu yang baru. Beberapa tahun lepas, beliau juga pernah mempersoalkan sama ada Semenanjung Malaysia pernah dijajah oleh British.”

Ramasamy berkata, walaupun MPN terdiri daripada hampir 1,500 orang profesor di universiti awam, mereka tidak melakukan apa-apa yang signifikan bagi mengangkat standard akademik pensyarah dan profesor sepanjang 12 tahun lepas.

Katanya, anggota MPN kelihatan tidak demokratik dan tidak berubah dari segi pemikiran dan tindak-tanduk mereka.

“Apakah kita benar-benar memerlukan badan seperti MPN? Saya kurang pasti. Persoalannya ialah sama ada MPN memerlukan kepimpinan baru, yang bersedia memikul cabaran kritikal yang dihadapi negara serta institusi pengajian tingginya.”

Kami bertindak ikut undang-undang, SPRM beritahu Ahmad Maslan

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pengiraan jumlah nilai yang perlu dikembalikan oleh penerima notis kompuan yang didakwa menerima dana 1MDB dibuat mengikut undang-undang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Azam Baki berkata, pengiraan itu sudah dijelaskan dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

“Kita mengikut undang-undang, bukannya suka-suka. Apa yang dikatakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya adalah apa yang mengikut undang-undang.

“Kalau ada yang pertikaikan cara pengiraan itu, terpulang, setahu kita, tidak ada silap pengiraan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Azam berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan yang mempertikai jumlah dana yang diterima dan jumlah wang dituntut SPRM.

Sebelum ini, SPRM bertindak mengeluarkan notis kompaun terhadap 80 individu dan entiti yang dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

Latheefa, berkata notis dikeluarkan mengikut Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Seramai sembilan individu termasuk adik Najib Razak, Nazir, juga bekas pengerusi Kumpulan CIMB, Ahmad dan bekas pengerusi Felda Shahrir Samad, di samping 43 entiti politik dan 23 syarikat disenaraikan menerima sehingga RM420 juta daripada 1MDB.

Menyentuh mengenai perkembangan terkini kompaun berkenaan, seramai 10% penerima memberi persetujuan untuk membayar semula dana tersebut.

“40% menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM, 45% hantar surat untuk membuat rayuan manakala tiga individu tidak mahu menerima serahan notis kompaun berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azam memaklumkan SPRM sudah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi mengesan aset milik 1MDB di seluruh dunia.

“Pasukan ini akan mengesan aset dan mengenal pasti penyiasat di setiap negara untuk bekerjasama dalam usaha ini,” katanya.

Khamis, 17 Oktober 2019

Video tular, Norhizam buat laporan polis


Wartawan MalaysiaGazette


71515703_370064457207433_7102745820084043776_n
Norhizam Hassan.-pix FB

KUALA LUMPUR – Ekoran video tular membabitkan dirinya, Exco kerajaan Melaka, Norhizam Hassan membuat laporan polis mengenainya.

Laporan dibuat di Balai Polis Air Keroh, Melaka hari ini.

Dalam laporan itu, Norhizam mahu polis membuka kertas siasatan terhadap anggota polis di Ibupejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur yang didakwa merakam dirinya.

Beliau juga mendakwa rakaman itu dibuat oleh anggota polis di IPK tersebut yang bertugas antara pukul 2 hingga 5 petang hari ini.

“Video yang tular juga tidak tepat dan tidak menyeluruh tentang kejadian sebenar. Dipercayai rakaman dan penularan video yang dibuat telah melanggar Etika kerja, Akta Kerahsiaan Kerajaan dan Akta 298 kawasan larangan dan tempat larangan 1959,” kata Norhizam dalam laporan itu.

Beliau mahu anggota yang bertugas bertanggungjawab dalam isu penularan itu dan mahu siasatan dilakukan.

Sebelum itu, video menunjukkan kekecohan berlaku antara Norhizam dengan anggota polis di IPK Kuala Lumpur tular di media sosial.

BERITA BERKAIATAN : Norhizam buat kecoh lagi 

Kalau Ramasamy nak saman, silakan

Wartawan MalaysiaGazette
16832034_1108503382593980_3720253968010245528_n
Firdaus Wong-ihsan FB


KUALA LUMPUR – Pendakwah Islam berbangsa Cina, Firdaus Wong mencabar Dr. P. Ramasamy menyamannya.

“Kalau Ramasamy nak saman saya, silakan. Peguam saya akan menanti surat saman dari anda dan InsyaAllah kita akan jumpa di mahkamah.

“Di situ (mahkamah) saya akan dedahkan kesemua bukti kaitan Ramasamy dengan LTTE dan TGTE,” katanya dalam status Facebooknya malam ini.

Firdaus merujuk kepada kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II itu yang mendakwanya sering memfitnah dan merosakkan nama baiknya dengan dakwaan terlibat dengan LTTE.

Malah Ramasamy telah meminta para peguamnya menyaman Firdaus seperti dilaporkan Malaysiakini.

Dalam pada itu, menurut Firdaus, sekiranya dia disaman dan dibicarakan di mahkamah, seluruh dunia akan lihat siapa yang putar belit selama ini dan siapa yang fitnah siapa.

“Tak perlu fikir nak padamkan gambar dan video anda, saya dah simpan majoritinya jikalau bukan semua.

“Saya dan peguam saya menanti surat saman dari anda, Ramasamy. Berani kerana benar, “padam’ kerana salah,” katanya.- MalaysiaGazette

Siasat video, gambar pemimpin PKR hadir majlis LTTE

Nizam Zain

Screenshot_20191015_190358


KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu memandang serius penularan video dan gambar membabitkan Ketua Cabang Port Dickson, Ravi Munusamy yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di media sosial.

Pengarah Strategik Angkatan Muda Keadilan Teluk Kemang, Nazrul Aznan Mohd. Kadri menegaskan, PKR perlu tegas dan jangan berkompromi dalam soal keselamatan walaupun membabitkan pimpinannya sendiri.

“Ia sangat memalukan parti, lebih lagi Port Dickson (Teluk Kemang) diwakili Presiden PKR juga bakal Perdana Menteri kelapan.

“Parti harus mengambil tindakan ke atas Ravi.

“Tindakan Ravi turut memalukan Kerajaan Negeri Sembilan, kedudukannya selaku Timbalan Speaker juga perlu diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial gambar dan video menunjukkan Ravi selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Tanjong didakwa hadir sebagai tetamu kehormat dalam satu program menyokong LTTE.

Dalam pada itu, Nazrul Aznan juga mendesak pihak polis segera menyiasat kesahihan video dan gambar tersebut termasuk memanggil Ravi bagi membantu siasatan.

“AMK Teluk Kemang tanpa selindung dengan ini turut mendesak pihak Polis DiRaja Malaysia melakukan siasatan dan tindakan ke atas Ravi berkaitan kehadiran beliau selaku tetamu kehormat dalam program menyokong LTTE.

“AMK Teluk Kemang melihat isu ini sebagai isu keamanan dan menyeru semua pihak menyokong tindakan pihak polis dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan negara,” katanya.

Katanya lagi, tindakan tegas juga perlu dilakukan segera bagi menjaga nama baik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh terpalit dengan pembabitan anggota di kawasan dengan kumpulan pengganas.

“Bagi AMK Teluk Kemang sangat jelas, mempertahankan kepercayaan dan kepentingan rakyat kepada parti khususnya menjaga nama baik Presiden selaku bakal Perdana Menteri jauh lebih penting dari menjaga kepentingan seorang Ketua Cabang PKR dengan kumpulan pengganas sokonganya.

“Semua pemimpin yang dipilih rakyat, sedarlah kamu dipilih untuk bela rakyat bukan menyumbang kepada kumpulan pengganas luar sehingga menjejaskan negara.

“Sudahkah semua pengundi kamu terbela sehingga kamu punya banyak masa dan sumber kewangan untuk membantu kumpulan pengganas LTTE pula?” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Kereta terbang: Nampak mudah tapi tidak


ULASAN | Saya ditanya oleh rakan-rakan, apakah benar model skala kecil prototaip "kereta terbang” yang dipamerkan di LIMA 2019 adalah sesuatu yang benar atau hanya khayalan semata-mata.

Untuk berlaku adil, saya hanya menjawab dengan membuat analisis dari sudut kejuruteraan semata-mata terhadap model prototaip (berdasarkan model skala yang ditularkan) itu. Tiada maklumat lain.

Sekiranya saya menjawab di hadapan pelajar kejuruteraan saya, maka kaedah seperti prinsip Bernoulli, peraturan Newton, aerodinamik, aerotermodinamik, mekanik cecair, dan segala prinsip fizik akan terpaksa dijelaskan.

Saya akan meminta pelajar saya untuk mengkaji aspek sistem kuasa, saiz rotor dan reka bentuk, reka bentuk kenderaan dan intergriti stuktural, bahan-bahan, analisis kebisingan dan getaran, kemampuan bergerak (manoeuvrability), sistem kawalan, beban muatan, nisbah kuasa dan berat, pensijilan dan kelayakan, kestabilan dinamik dan sebagainya.

Saya akan meminta pelajar saya membuktikan menerusi computation fluid dynamics (CFD).
Bagaimanapun tentunya dalam tulisan ini saya tidak akan buat begitu.

Untuk maklumat kepada awam, saya memilih untuk menggabungkan jawapan ringkas saya ini berasaskan latar belakang saya sebagai saintis, jurutera, penyelidik dan ahli politik.

Cabaran dunia baru
 
Maka saya akan cuba memberikan pandangan dalam bahasa yang paling mudah dan senang difahami.
Pertama, premis bahawa ianya dilabelkan sebagai “kereta terbang”adalah bersifat provokatif dan sensasi. Sains dan teknologi seharusnya bukan sensasi, bukan gimik, sebaliknya perlu berasaskan fakta tepat.

Tidak dinafikan juga mungkin sedikit kesilapan melabelnya akan membuka ruang pentafsiran yang salah.

Maka amat penting untuk pihak yang memperkenalkan cadangan prototaip “kereta terbang” itu - dan kementerian terbabit - untuk cepat membetulkan nama panggilannya supaya tidak menjadi momokan.
Itulah cabaran dunia baru.

Sebenarnya tidak ada apa-apa yang kurang pun sekiranya menteri atau timbalan menteri dengan pantas membetulkan label “kereta terbang” itu pada hari pertama dan menggelarnya dengan nama yang lebih sesuai.

Misalnya vertical take-off transporter, dron automobil, teksi dron, auto hover atau yang lain.
Nama yang tepat akan bergantung kepada prinsip bagaimana kenderaaan berkenaan akan mula berada di udara, sama ada menerusi vertical take-off (pelepasan menegak) - seperti dron yang ada di pasaran sekarang - atau pelepasan biasa seperti pesawat kecil yang mempunyai retractable wings.

Kedua, mungkin ada yang mula bertanya: adakah boleh wujud kenderaan sedemikian?

Ya, pada prinsipnya ia tidak berlawanan dengan kejuruteraan, dan memang sudah ada kenderaan yang mampu berada pada ketinggian tertentu - seperti dron - yang mampu membawa manusia sebagai bebannya.

Maka soalan berikutnya: adakah yang dipamerkan di LIMA 2019 itu sesuatu yang mungkin boleh terbang?

Ada apa dengan penutup berjaring
 
Sekiranya reka bentuk dan pembinaannya menepati reka bentuk kejuruteraan dan segala prinsipnya, maka ia boleh berada di udara.

Saya percaya, tentunya syarikat berkenaan mempunyai pakar teknikal yang berkebolehan, tetapi dengan melihat reka bentuk prototaip tersebut, perjalanan masih jauh.

Pada hemat saya, sekiranya itulah reka bentuk cadangannya, maka cubaan yang lebih serius diperlukan bagi memastikan ia mampu berada di udara.

Sekiranya ia adalah projek pelajar saya, saya akan memberi komen awal terhadap reka bentuk pelik penutup berjaring di atas kipas, yang pada hemat saya akan mengurangkan daya dan kuasa tujahan untuk membolehkan kenderaan itu berada pada satu ketinggian tertentu di udara.
Faktor kritikal ialah mempunyai daya dan kuasa tujahan serta angkatan yang mempu mengatasi berat kenderaan serta bebanan yang dibawanya.

Penutup berjaring berkenaan hanya akan membolehkan angin keluar di bawah dalam keadaan seragam (uniform flows) tetapi tujahan pula mengurang (reduced thrust).

Ini akan menyukarkan lagi usaha mendapatkan daya tujahan bagi mengangkat kenderaan berkenaan.
Ketiga, pada zaman media baru ini, sering kali inisiatif kerajaan berdepan dengan kritikan daripada rakyat.

Pimpinan lain dalam masyarakat tentunya mempunyai pelbagai pandangan dan latar belakang.

Menteri atau timbalan menteri yang mengeluarkan kenyataan menyokong kenderaan berkenaan haruslah mengambil maklum bahawa kita sebagai pimpinan masyarakat hendaklah cuba (saya katakan cuba kerana - saya juga - tidak mudah untuk mengawal perasaan sendiri) untuk tidak bertindak balas dengan sindiran orang ramai.

Ambil maklum dan jelaskan dengan hati yang terbuka.

Apa salahnya kita menggunakan ayat seperti: “Saya memahami kritikan berkenaan, kami akan ambil maklum dan atasi apa jua masalah reka bentuknya”, atau katakan: “Kami akan berikan penjelasan pada satu masa nanti’, “penjelasan teknikalnya adalah seperti berikut…”, “ïtu adalah contoh saja, reka bentuk akhir tentunya berbeza, sesuai dengan objektif kenderaan berkenaan” dan sebagainya.

Mantan ketua pegawai eksekutif General Electric, Jack Welch, menyebut: “Orang ramai mesti yakin dengan anda, anda pula harus membina keyakinan orang ramai”.

Menarik bukan? Objektif nampak mudah tetapi mengusahakannya tidak semudah itu!
Semoga berjaya. Benediximus!


Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ialah menteri besar Terengganu merangkap Adun Rhu Rendang. 

Beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang aeroangkasa.

'KL-P Pinang dalam sejam naik kereta terbang ada dibincang'

 
 

Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof berkata perbincangan awal pihak swasta dan usahawan berhubung projek kereta terbang antara lain bagi memastikan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang disingkatkan kepada sejam.

Redzuan berkata demikian di Dewan Rakyat ketika memaklumkan bahawa projek kereta terbang akan dapat dilancarkan pada penghujung tahun ini.

“Saya nak nyatakan di sini kalau kita pergi ke Pulau Pinang empat jam sekarang, mungkin pihak swasta dan usahawan sedang berbincang untuk membolehkan kita ke Pulau Pinang selama satu jam mengunakan kanderaan kereta terbang, bukan saya nyatakan benda itu akan terjadi, tetapi telah ada perbincangan awal untuk memastikan perkara ini boleh direalisasikan dalam masa terdekat dalam tahun 2020,” katanya

Redzuan berkata pihaknya dalam usaha untuk melancarkan projek ini secepat mungkin termasuklah memperkenalkan undang-undang melibatkan kereta terbang.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) dalam soalan tambahan meminta Redzuan menyatakan tarikh spesifik projek kereta terbang akan dilancarkan.

Tanpa menyebutkan tarikh spesifik, Redzuan berkata: “Saya sebut ini usaha berterusan selari dengan pergerakkan teknologi atau inovasi terkini seluruh dunia. Jadi apa sahaja bentuk usaha kita untuk pastikan industri ini bergerak lancar dan boleh dipercepat."

Redzuan turut mengulangi bahawa projek tersebut akan diterajui oleh sektor swasta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat tempatan.

“Projek ini tidak melibatkan sebarang peruntukan daripada kerajaan dan kerajaan tidak akan menanggung sebarang kerugian sekiranya projek ini tidak berjalan seperti yang dirancang,” katanya.

Mac lalu, Redzuan dilaporkan berkata, kereta terbang pertama Malaysia akan dipacu teknologi tempatan dan prototaipnya dijangka diperkenalkan tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Redzuan turut memaklumlan bahawa pihak kementeriannya telah mengenal pasti industri air mobility sebagai salah satu industri penting yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia.


Tahniah kerana tak tangguh kereta terbang, sindir KJ

 
 

Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dengan nada sindiran mengucapkan 'tahniah' kepada Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof kerana menunaikan impian rakyat Malaysia untuk melihat kereta terbang menjelang tahun 2020.

Khairy berkata ketika Wawasan 2020 diperkenalkan dia hanya berumur 15 tahun dan telah membayangkan mempunyai kereta terbang menjelang tahun 2020.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada menteri, sekurang-kurangnya impian untuk melihat kereta terbang tidak akan ditangguhkan sehingga fasa seterusnya Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (SPV 2030).

“Yang berhormat menteri seorang sahaja yang dapat menepati janji 2020,” katanya dalam soalan tambahan kepada Menteri Pembangunan Usahawan.

Terdahulu Khairy meminta Redzuan menyatakan tarikh spesifik projek kereta terbang akan dilancarkan dan "bila seluruh rakyat Malaysia boleh melihat menteri menaiki kereta terbang".

Redzuan sebelum itu berkata projek berkenaan akan dilancarkan hujung tahun ini.

Jelas Redzuan, prototaip kereta terbang itu yang sedang dibangunkan oleh syarikat usahawan negara ini di Jepun dan kini pada peringkat 85 peratus siap sebelum ia dapat diuji di ruang udara.

Beliau berkata, ia dibina di Jepun berikutan negara terbabit lebih terbuka dalam menyokong penyelidikan dan pembangunan sedemikian.


Panel debat cuba tanam jarum liberalisme, normalkan LGBT

ainulillia

 

Tema dipilih langsung tak hormat norma, cabar sensitiviti muslim: DPPM

BANGI – Pihak penganjur debat Piala Tun Razak cuba mengambil kesempatan menjadikan medan perdebatan sebagai jarum halus untuk menyuntik fahaman yang jelas bertentangan dengan aqidah Islam, kepada remaja belasan tahun.

Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM), Mukhtar Suhaili berkata, tema yang dipilih dalam pertandingan itu, sama sekali tidak menghormati norma, bahkan mencabar sensitiviti masyarakat muslim di negara ini.

Ia juga katanya, dilihat sebagai satu usaha untuk menanamkan jarum liberalisme dan menormalisasi LGBT, kata Mukhtar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemilihan tajuk yang langsung tidak mengendahkan norma masyarakat majoriti muslim di Malaysia mencerminkan cara fikir yang didasari pemikiran-pemikiran janggal, asing dan langsung tidak bertepatan dengan fitrah. 

“Fenomena penyebaran ‘pasca-kebenaran’, menyeru sekalian manusia untuk terus mempermainkan aspek-aspek teras akidah, khususnya bagi seorang muslim yang mendasari kehidupannya setiap hari, adalah sangat dikesali. 

“Dalang di sebalik fenomena ini cuba untuk mengelirukan malah menyesatkan pelbagai lapisan masyarakat di bawah bayangan ‘perbincangan akademik’, ‘hypothetical motion’ dan lain-lain terma yang bernuansa ‘neutral’ supaya akhirnya tiada satu perkara pun menjadi mutlak meskipun terhadap akidah seorang muslim terhadap Rabb sekalian alam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, penganjur pertandingan debat Piala Tun Razak 2019 di Seremban memohon maaf berikutan kritikan terhadap tajuk debat yang menyentuh soal Islam dan al-Quran.

Dalam kenyataan bersama Mohammad Aidil Ali dan Iyad Zakiy Amal yang juga Ketua Pengadil berkata, usul debat berkenaan hanya bersifat hipotetikal dan bukannya cubaan untuk membawa ‘agenda liberal.’

“Usul ini dibuat bukan dengan niat untuk indoktrinasi kepada pendebat muda atau satu bentuk agenda liberal daripada sesiapa. 

“Debat adalah kegiatan di mana peserta perlu berfikir di luar kotak dan tidak menghadkan pandangan alam dan pada masa sama tidak mengorbankan kepercayaan mereka selain sedia untuk berfikir secara kritikal,” kata mereka.

Mengulas permohonan maaf itu, Mukhtar berkata, setelah diteliti, ia penuh dengan satira dan sandiwara yang jelas menunjukkan mereka sememangnya mempunyai agenda liberalisme. 

“Ini tidak dapat disembunyikan lagi sehingga terzahir pada pemilihan tajuk dengan memberikan respon yang sinis kepada pihak yang mempertikaikan tindakan mereka. 

“Mereka tidak ikhlas mengeluarkan permohonan maaf tersebut. Justeru pihak penganjur perlu bertanggungjawab, permohonan maaf sahaja tidak memadai dan perlu kepada tindakan yang lebih tegas.

Justeru, DPPM menegaskan Malaysia tidak memerlukan figura-figura keliru mempengaruhi penuntut ilmu dengan tidak mengembalikan pencerahan ilmu yang diperolehi.

“Sekadar petah berbicara dan berfalsafah semata, tetapi tidak dapat tunduk kepada kehendak Tuhannya bukanlah ciri-ciri penuntut yang cemerlang untuk dijadikan kebanggaan di dunia apatah lagi mengharapkan kebahagiaan di Akhirat.

“DPPM menegaskan sekali lagi, bahawa kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba untuk mempermainkan kedudukan dan kemuliaan Islam dalam apa bentuk sekalipun,” katanya.


Tolong pantau premis jual vape

nurul atikah

 

Kerajaan pergiat kempen kesedaran atasi penularan rokok elektronik

ALOR SETAR – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini disaran memantau premis-premis yang menjual rokok elektronik atau vape bagi memastikan tiada cecair terlarang dan menyalahi undang-undang dijual.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, walaupun belum ada aduan diterima, namun pihaknya tetap mahu kawalan dilakukan.

“Kita melihat ini sesuatu yang serius dan membimbangkan kerana melibatkan remaja dan pelajar apatah lagi apabila tidak ada satu kawalan macam di kedai-kedai di mana saya rasa tidak ada kawalan setakat ini.

“Bila tidak ada kawalan anak-anak kita senang terlibat dan sebab itu, kita nak meminta semua PBT membuat pemantauan mengenainya dan menyalurkan maklumat kepada kerajaan negeri,” katanya selepas menyampaikan bantuan kepada seorang pesakit strok, Wan Nordin Wan Husin, 53, di Taman Bersatu, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga akan mempergiatkan kempen kesedaran bagi mengekang penularan rokok elektronik yang menurutnya sama seperti rokok biasa, boleh memberi kesan kepada kesihatan pengguna.

“Kita juga senada dengan kerajaan pusat yang melihat ada keperluan untuk kuatkuasakan larangan sepenuhnya penggunaan vape ini kelak,” katanya.

Isnin lepas, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat berkata, kerajaan telah mewujudkan satu jawatankuasa kerja pakar di bawah Kementerian Kesihatan untuk mengkaji kemungkinan larangan secara menyeluruh terhadap penggunaan rokok elektronik dan vape.

Jawatankuasa itu diwujudkan susulan peningkatan kes kematian pengguna vape dan rokok elektronik yang dilaporkan, iaitu seramai 28 orang di Amerika Syarikat (AS) dan seorang di United Kingdom (UK).

Pada Julai lalu, Dr Dzulkefly berkata, kementeriannya akan menggubal satu akta baharu bagi mengawal selia penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha.

Akta yang dinamakan Akta Tembakau itu dijangka dapat menangani pemasalahan itu secara keseluruhan.- Bernama

Keluarga mahu ruang bertenang

fazleen safina

 

Adik mangsa nahas bas Turki masih tunggu tindakan lanjut urusan PKNS

KUALA LUMPUR – Keluarga mangsa yang maut dalam kemalangan bas di Turki semalam, meminta semua pihak memberi ruang kepada mereka untuk bertenang.

Azhar Miswan, 47, berkata, ketika ini keluarga masih terkejut dengan berita kemalangan yang menyebabkan abang sulungnya Azalan Miswan maut manakala kakak iparnya, Wan Faridah Ahmad cedera.

“Sebagai menghormati ibu bapa kami yang masih bersedih, kami berharap semua pihak khususnya media memberi ruang kepada keluarga untuk bertenang.

“Ketika ini, kami masih menunggu keputusan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk tindakan selanjutnya berhubung urusan abang dan kakak ipar saya di sana,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Dalam kejadian 11.35 pagi waktu tempatan semalam, Azalan maut selepas bas yang dinaiki bersama 34 rakyat Malaysia terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappadocia.

Azhar berkata, sudah pasti keluarga mahu jenazah abangnya dibawa pulang namun, masih menunggu keputusan daripada pihak kedutaan dan PKNS mengenai perkara itu.

Beliau berkata, kakak iparnya ada menghubungi keluarga lewat malam tadi dan memaklumkan keadaannya stabil namun tidak sempat bercerita lanjut mengenai kejadian itu.

“Kali terakhir berjumpa abang kira-kira dua minggu lalu dan dia berpesan supaya menjaga kedua ibu bapa kami yang sudah uzur…tiada yang pelik kerana itu pesanan yang sering diingatkannya,” katanya.

Jelasnya, Azalan yang juga anak sulung daripada tujuh beradik, mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan, masing-masing berumur 15, 23, dan 26 tahun. -Bernama


35 kakitangan PKNS terlibat kemalangan di Turki

ainulillia 

 

Seorang anggota disahkan meninggal di tempat kejadian: PKNS

Kehilangan paksa Amri, paderi Koh: Kita tunggulah, kata Muhyiddin



Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin meminta semua pihak memberi masa untuk pasukan jawatankuasa khas menjalankan siasatan terhadap kehilangan paksa paderi Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat.

Katanya, pasukan khas itu diberikan masa selama enam bulan untuk menjalankan siasatan mereka dari tarikh lantikan, iaitu pada 26 Jun lalu.

“Mereka masih menjalankan tugas [...].

“Kita bagi dari tarikh lantikan sehingga enam bulan, jadi sementara belum ada laporan balik kepada kita, kita tunggulah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pendaftaran Negara di bangunan Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya hari ini.
Iklan

Beliau menjawab soalan pemberita tentang perkembangan siasatan pasukan khas yang dilantik menyiasat kehilangan dua individu tersebut.

Penubuhan jawatankuasa khas itu diumumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 23 Mei, susulan pendedahan laporan inkuiri Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Ketika membentangkan laporan inkuiri tersebut, Suhakam pada 3 April bahawa polis Cawangan Khas (SB) terlibat dalam kehilangan paksa Koh yang diculik pada 2017 dan dan Amri Che Mat yang hilang pada 2016.

Laporan yang setebal kira-kira 100 muka surat setiap satu itu membuat kesimpulan itu daripada inkuiri 18 bulan yang dijalankan terhadap kehilangan kedua-dua individu berkenaan, dengan prosiding inkuiri dipengerusikan pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai (ketika itu) yang juga merupakan bekas hakim mahkamah rayuan.

Bagaimanapun, inkuiri Suhakam itu dibidas sesetengah pihak, yang menyifatkannya sebagai berat sebelah kerana tiada peguam dari pihak PDRM tampil membela diri sedangkan kedua-dua keluarga mempunyai barisan peguam.


Kit Siang, Guan Eng restu LTTE dalam parti, dakwa Ramesh Rao

ainulillia

 

'Kalau betul hormat undang-undang negara, dah lama mereka nasihat'

BANGI – Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Datuk Ramesh Rao mendakwa Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng sebenarnya mengetahui pergerakan kumpulan pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) dalam parti DAP.

Bagaimanapun beliau berkata, penasihat veteran dan Setiausaha Agung parti rasis itu tidak mengambil tindakan walaupun sudah mengetahui pergerakan LTTE yang bersarang di dalam parti. 
“Ini bukan isu individu lagi, ini isu parti. Kalau mereka betul menghormati undang-undang negara, mereka dah lama nasihat. Tapi mereka merestui.

“Bekas pegawai khas Guan Eng, Mohamad Razali Abdul Rahman pernah mendakwa wujudnya hubungan Israel dengan DAP. Katanya, Israel pernah salurkan RM1.2 bilion kepada DAP. 

“Umum tahu DAP memang suka saman orang, tapi kenapa dia tak saman Razali. Jadi bagi saya, DAP ini arah tuju dia memang keganasan,” katanya dalam wawancara bersama TV Pertiwi, semalam. 

Terdahulu, polis menahan ahli dan pemimpin DAP, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka selepas dipercayai terbabit dalam majlis memperingati perjuangan LTTE.

Mereka ditahan kerana didakwa mempromosikan, menyokong dan memiliki bahan serta mengagihkan dana yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas itu.

Mengulas lanjut, Ramesh menegaskan sekiranya mengikut Akta Tubuh Parti 1996, DAP sebagai sebuah parti politik telah berjanji untuk taat kepada undang-undang Malaysia, namun sebaliknya berlaku.

“Bila kata nak tubuhkan parti politik kamu dah janji nak taat kepada undang-undang. Tetapi kamu tak taat. Bila negara kata komunis itu haram, kamu pulak lawan, nak bawa abu mayat Chin Peng. Dah nampak sangat besar kepala. 

“Yang kedua, bila kerajaan Malaysia kata pengganas tu pengganas, kamu masih meneruskan dalam PRU14, kamu guna ketua pengganas, untuk menghasut kaum India Malaysia. Nak cabar undang-undang Malaysia ke, besar sangat ke kamu ni?,” soalnya.

Mengulas mengenai agenda DAP, Ramesh yakin parti itu adalah ‘pakar’ mencetuskan sentimen perkauman dalam negara ini.

“Kita tahu bagaimana mereka wujudkan sentimen perkauman untuk kaum India benci Barisan Nasional. Isu kematian Kugan misalnya, orang India bawa banner ‘Polis dahagakan darah orang India’ dan sebagainya. Isu ini telah membuatkan kaum India benci BN tanpa mengetahui punca kematian. 

“Isu Teo Beng Hock pula mereka (DAP) hasut kaum Cina, jadi perpaduan kaum di Malaysia terus renggang, DAP puncanya. Agak sedih lah apabila ini berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramesh berkata, parti rasis dan cauvinis DAP ini telah melanggar undang-undang negara sejak tahun 2009.

“DAP sudah lama langgar undang-undang. Cuma kerajaan dulu terlampau berlembut. Dia bagi muka sangat. Mungkin BN berlembut untuk menjaga hati kaum India. Tapi cukuplah, sudahlah, dah dekat 10 tahun berlembut,” katanya.


Rabu, 16 Oktober 2019

Panel debat biadab, tak jaga sensitiviti agama: Khaled Nordin

siti hafidah

 

Usul tak patut jadi instrumen halus sebar ideologi liberal, melampau

BANGI – Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan tindakan panel pemilih usul pertandingan debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019 yang mencetuskan kontroversi, bukan sahaja keterlaluan, malah biadab tanpa mengambil kira sensitiviti agama.

Meluahkan rasa kesalnya, Naib Presiden UMNO itu berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja memburukkan dan memberi persepsi yang salah mengenai komuniti debat, malah kepada pertandingan itu sendiri.

“Mengapa perkara ini saya dianggap biadap dan keterlaluan? Pertama, kita tidak seharusnya sampai menolak atau membuang sepenuhnya nilai pegangan dan kepercayaan agama hanya kerana mahu berdebat. Usul-usul yang dicadangkan itu jelas memaksa peserta mengetepikan kepercayaan agama dan nilai yang mereka pegang sebagai seorang individu.

“Kedua, debat seharusnya membincangkan perkara yang logik, bersandarkan realiti dan pragmatisme. Bukannya dijadikan medan untuk mengabsahkan fantasi dan imaginasi pasukan ketua hakim yang tidak berasas dan tidak berkeperluan.

“Ketiga, debat harus menyasarkan kepada penambahbaikan dasar dan cara hidup. Bukannya dijadikan instrumen halus untuk menyebar kekeliruan identiti, ideologi liberalisme melampau atau pun pemikiran ekstrem. Terutamanya di kalangan bawah umur seperti pelajar sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada perkembangan sama, Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor menyokong tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas dalam perkara itu.

“Debat, seperti mana-mana juga pertandingan atau aktiviti lain mesti disokong. Tetapi, ia haruslah dilaksanakan dengan pendekatan dan cara yang menjadikan kita manusia yang lebih baik.

“Malah, menjadikan kita sebagai warganegara serta penganut dan pendukung agama yang lebih baik. Jika tidak, semua yang kita lakukan akan bersifat sia-sia,” kata beliau.

Terdahulu tular di laman sosial mengenai Pertandingan Debat Piala Tun Razak 2019 dalam kalangan pelajar sekolah yang membabitkan topik kontroversi berkaitan asas Islam seperti Islam tidak menghalang homoseksual dan penulisan semula al-Quran.

Siasatan mendapati panel pemilih usul pertandingan debat Bahasa Inggeris Piala Tun Razak 2019 di Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) yang mencetuskan kontroversi, tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Kementerian Pendidikan semalam berkata, panel terbabit yang juga pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak membuat sebarang perbincangan atau mendapatkan pandangan awal daripada pihak SDAR berkaitan usul tajuk debat.


Dewi Remaja dikuarantin 54 hari, elak masalah sosial


Dewi Remaja 2019 diperketatkan dengan beberapa peraturan bagi mengelak peserta tahun ini terbabit masalah sosial seperti kontroversi lalu.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria dan Ria HD, Emarina Mohd Kamal, misi utama pertandingan edisi ke-10 itu ialah untuk mencari seorang personaliti remaja yang boleh dijadikan contoh terbaik.

Justeru, kata Emarina, pihaknya akan memastikan peserta dikuarantin sepanjang pertandingan itu berlangsung bagi mereka memberi fokus pada perkara berfaedah.

"Peserta akan dikuarantin selama 54 hari iaitu sepanjang pertandingan berlangsung bagi mengelak masalah sosial dan melakukan aktiviti selain daripada Dewi Remaja.

“Kami tak mahu ada kelonggaran hingga peserta kali ini mengulangi kesilapan seperti tahun lalu,” katanya.

Tambah Emarina, pertandingan Dewi Remaja wajar digunakan sebagai platform untuk peserta menyumbangkan jasa bukan saja dalam tapi di luar negara.
Emarina Mohd Kamal
Emarina ditemui pada majlis pengumuman peserta Dewi Remaja Top 12 di sebuah kompleks beli-belah di Damansara Utama, Petaling Jaya semalam.

Seramai 20 orang calon peserta Dewi Ramaja terpilih untuk saringan akhir namun hanya 12 orang saja berjaya sebagai finalis.

Peserta yang diserap masuk ialah Andrianna Fernandez, 19, Shaza Nuriman (24), Nynaa Harizal (23), Sharlina Gilbert (23), Myra Natasha (24), Syamira Izzati (22), Saidah Syahirah (23), Adriana Ghafar (21), Syaza Ezra (19), Shatirah Amanda (19), Nina Amin (23) dan Aishah Azhan (24).

Sepanjang lapan episod, pelakon dan pemenang Dewi Remaja 2005/2006 Scha Al Yahya akan bertindak sebagai juri tetap manakala aktres Amelia Henderson menjadi pengacara.

Video kelab malam

Terdahulu, penyandang gelaran juara Dewi Remaja 2018/2019 iaitu Haneesya Hanee mencetus kontroversi selepas tular rakaman klip video dia bersama beberapa peserta lain berhibur sambil minum minuman keras di sebuah kelab malam.

Susulan konterversi dianggap melanggar syarat penyertaan dan kontrak pertandingan, gelaran juara diberikan kepadanya ditarik balik oleh penganjur.
Haneesya Hanee 
Pelucutan gelaran itu dibuat selepas 72 jam Haneesya bergelar juara dan buat pertama kalinya tiada pemenang Dewi Remaja bagi musim tersebut.

Untuk rekod, Haneesya memohon maaf dan mengaku dia menerima penarikan balik gelaran tersebut dengan hati terbuka.

Sementara itu, Editor Pengurusan Remaja, Fiezreen Ahmad berkata, peserta bakal didedahkan cara menguruskan media sosial dengan lebih bermanfaat.

Selain itu katanya, mereka juga bakal berdepan soalan-soalan berkaitan pengetahuan am yang dititikberatkan ketika sesi penjurian peserta.

“Buat pertama kali Dewi Remaja menyuntik elemen pengetahuan am sebagai salah satu elemen utama.

“Ia bagi membuktikan peserta mempunyai pakej menyeluruh terutama daripada segi aspek personaliti dan latar belakang akademik,” katanya.


K’jaan baru tanpa DAP, Amanah? Boleh cubalah, kata Dr M


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa pihak yang ingin membentuk kerajaan baru dengan mengetepikan Amanah dan DAP boleh mencuba melaksanakan gerakan tersebut.

“Mereka boleh cuba”, katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media forum Yayasan Sejahtera 2019 sempena hari antarabangsa pembasmian kemiskinan di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam PH mendakwa, bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein, bertanggungjawab menggerakkan usaha tersebut dalam membentuk kerajaan baru.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, PH membayangkan gerakan mencadangkan idea itu itu dilakukan Hishammuddin bersama beberapa pihak lain.

Hishammuddin dalam penulisan dan wawancaranya memberi isyarat yang cenderung untuk kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum.

"Ini adalah amalan politik usang yang bercanggah sama sekali dengan politik inklusif yang dipelopori PH," kata kenyataan itu.

Ia ditandatangani Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir; dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Terdahulu semasa berucap di Dewan Rakyat, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, turut membuat kenyataan mengenai usaha pihak tertentu dengan menyentuh pembabitan Hishamuddin.

Ditanya adakah pernah berjumpa Hishamuddin yang juga merupakan anggota parlimen Sembrong untuk mengadakan perbincangan berkenaan perkara tersebut, beiau berkata tidak.

“Tiada, tidak pernah jumpa”, katanya.

Menjawab soalan pemberita di lobi parlimen, Hishammuddin hari ini berkata dakwaan itu tidak masuk akal.

Untuk rekod, pada 1 Ogos lalu, Dr Mahathir mengesahkan beberapa pemimpin pembangkang dari Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertemu beliau.

Bagaimanapun, Hishammuddin menegaskan perjumpaan tersebut bertujuan untuk memikirkan masa hadapan negara dan rakyat terutama dalam usaha pengukuhan ekonomi dan perpaduan.


Graduan UM ‘meroyan’ didorong fahaman politik cauvinis

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Pembina minta Wong Yan Ke mohon maaf jika masih wujud lagi adab


BANGI– Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) yakin tindakan graduan ‘meroyan’ di majlis konvokesyen Universiti Malaya (UM) baru-baru ini, bukan hanya didorong individu sahaja, tetapi juga ideologi kebebasan dan fahaman politik cauvinis yang diwariskan daripada luar kampus.

Justeru, Pembina menyarankan kepada pihak pentadbiran UM untuk menyelia aktiviti mahasiswa yang cenderung kepada melahirkan individu seperti Wong Yan Ke.

Presiden Pembina, Azam Asri berkata, Yan Ke sudah beberapa kali meroyan mengenai isu identiti nasional, malah plakad yang tertulis perkataan yang salah iaitu ‘Raykat’ dalam satu tunjuk perasaan di sekitar UM, adalah antara kejadian yang dipelopori oleh graduan itu.

“Mereka adalah Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) yang cenderung kepada ideologi politik rasis dan ekstrem DAP. Yan Ke bukan sekadar mempunyai masalah dengan adab yang dimiliki, tetapi juga mempunyai masalah dengan ideologi kebebasan yang sering dilaung-laungkannya.

“Masalah ini bukan hanya pada Yan Ke seorang sahaja tetapi lebih kepada ideologi yang dimiliki persatuan-persatuan seperti Umany ini. Sekiranya kita lihat di dalam video kejadian di dewan konvokesyen, terdapat juga tepukan dan sokongan yang diberikan kepada Yan Ke atas tindakan biadabnya.

“Hal ini bermaksud ramai sebenarnya yang menyokong tindakan Yan Ke ini,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Selain itu, Azam turut menyarankan Yan Ke membuat permohonan maaf secara terbuka sekiranya wujud lagi ketinggian adab dalam dirinya sebagai graduan.

“Bagi saya, orang yang menyatakan seseorang itu rasis tanpa asas yang jelas sepatutnya dia sendiri yang patut digelar rasis. Saya cadangkan juga kepada saudara Yan Ke bergaullah dengan bangsa lain terutamanya bangsa Melayu serta pelajari sejarah negara dengan betul.

“Sekiranya saudara Yan Ke masih tiada kawan berbangsa Melayu, saya sendiri sanggup menawarkan diri,” katanya

Terdahulu, menerusi video tular di media sosial, Yan Ke melakukan protes dengan melaungkan slogan menolak kepimpinan naib canselor universitinya sejurus selepas menerima skrol ijazah.

Difahamkan dia berbuat demikian bagi membantah ucapan Naib Canselor UM, Dr Abdul Rahim Hashim ketika Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu.


UM kena pertimbang haram persatuan pelajar radikal

siti hafidah

 

Tindakan biadab graduan jelas salah guna hak kebebasan bersuara

BANGI – Universiti Malaya (UM) perlu pertimbang untuk mengharamkan persatuan pelajar radikal yang bersarang di dalam universiti itu.

Demikian saranan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa), Muhammad Thalhah Kamarol Zaman susulan tindakan biadab seorang graduan yang mengeluar dan menayangkan plakad bertulis ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ ketika berada di pentas majlis Istiadat Konvokesyen UM, Isnin lalu.

Mengulas perkara itu, Thalhah berkata, majlis gilang-gemilang yang penuh adat istiadat tercemar dengan kelakuan tidak beradab mahasiswa terbabit, yang tidak berpuas hati dengan ucapan naib canselor dalam satu majlis berbeza.

“Ini adalah satu contoh jelas ruang hak kebebasan bersuara yang digunakan dengan salah malah memalukan.

“Adakah sistem pendidikan universiti melahirkan pelajar sebegini atau sebenarnya ada persatuan pelajar yang dikatakan dianggotai pelajar tersebut mendoktrin idea radikal ke dalam minda para pelajar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Thalhah menegaskan, seorang mahasiswa perlu menunjukkan contoh dan tauladan yang baik ketika mahu menyuarakan ketidakpuashati dalam sesuatu perkara.

“Saya teringat ketika saya menganggotai Persatuan Pelajar Islam di universiti dahulu. Ketidakpuashati kami terhadap layanan universiti kepada kebajikan pelajar Islam kami tidak suarakan ketika majlis konvokesyen, walaupun majlis itu diadakan di dalam sebuah gereja!

“Kami suarakan isi hati kami kepada pihak polis tempatan, di dalam forum-forum pelajar dan ‘steering group’ antara persatuan dan universiti,” katanya.

Sebelum ini, menerusi video tular di media sosial, seorang graduan UM melakukan protes dengan melaungkan slogan menolak kepimpinan naib canselor universitinya ketika berada di pentas majlis istiadat konvokesyen universiti itu.

Individu berkenaan, Wong Yan Ke, graduan Kejuruteraan Awam, turut menjerit ‘ini tanah Malaysia’, selepas menerima ijazahnya di atas pentas.

Difahamkan dia berbuat demikian bagi membantah ucapan Naib Canselor UM, Dr Abdul Rahim Hashim ketika Kongres Maruah Melayu di Shah Alam 6 Oktober lalu.


Graduan perlu ambil peluang ceburi bidang perniagaan

Oleh Nurul Atikah Mohd Rosli

 

Kadar pengangguran hampir 60 peratus membimbangkan: Isma


BANGI– Kadar pengangguran yang mencecah hampir 60 peratus dalam kalangan graduan selepas setahun tamat pengajian adalah perkara yang membimbangkan, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya.

Kebimbangan itu dinyatakan beliau susulan daripada dapatan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) Tahun 2018 Kementerian Pendidikan (KPM), menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen, semalam.

“Bilangan graduan belum bekerja selepas satu tahun tamat pengajian bagi peringkat pengajian Ijazah Pertama dan ke atas adalah 30,765 orang atau 59.9 peratus daripada 51,365 graduan yang belum bekerja,” kata Menteri Pendidikan, Maszlee Malik yang menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datoh).

Mengulas perkara itu, Aminuddin bagaimanapun menasihatkan graduan yang belum mendapat pekerjaan supaya tidak susah hati, sebaliknya menggunakan ilmu yang ada untuk memulakan perniagaan.

“Mungkin kecil-kecilan dahulu tetapi tak mengapa, lama-lama akan berkembang menjadi besar jika kita berusaha bersungguh-sungguh.

“Kini, permintaan kepada produk-produk sangat tinggi. Persepsi masyarakat terhadap produk-produk Muslim sudah makin bertambah baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, beliau tidak melihat kerajaan mampu mewujudkan peluang pekerjaan yang signifikan dalam tempoh terdekat, justeru graduan perlu mengambil peluang untuk menceburi bidang perniagaan.

“Kita perlu terima hakikat bahawa kita kena berdikari dan berusaha sendiri untuk terus hidup. Dengan doa dan keyakinan diri, insyaallah kita akan berjaya.

“Saya yakin anak-anak Malaysia terutamanya anak-anak Melayu kita mempunyai potensi yang besar untuk berjaya. Saya mendoakan yang terbaik untuk para graduan di luar sana. InsyaAllah. Amin,” katanya.