Rabu, 25 September 2019

Wanita Islam kena berani pertahan maruah, kebenaran

fazleen safina

 

Tiada wanita muslim berani gadai maruah jika sahabat Nabi masih hidup

WANITA sangat sinonim dengan sifat malu, berbudi bahasa, lemah lembut dan manis tutur katanya. Adakah semua sifat tersebut menafikan wanita perlu kepada sifat berani , tangkas serta tahan lasak? Bagaimana pula dengan kisah sahabiat seperti Khaulah binti Azwar yang turut serta berperang untuk menyelamatkan abangnya dari tahanan Rom, begitu juga Khansa’ , seorang ibu yang meratapi tiga orang anaknya yang mati syahid ketika berperang melawan kufar.

Ratapannya bukan kerana kematian anak-anak yang disayangi, tetapi beliau sudah tiada lagi anak untuk menempa kesyahidan. Begitu juga kisah Siti Hajar yang ditinggalkan oleh suaminya iaitu Nabi Ibrahim A.S di tanah kering kontang kerana akur arahan dari wahyu Ilahi. Kesimpulannya, perjalanan kehidupan mereka cukup membuktikan wanita sangat memerlukan sifat keberanian untuk mempertahankan kebenaran dan maruah Islam.

Sebelum kedatangan Islam, wanita dijadikan alat untuk memuaskan nafsu dan mereka tidak di beri ruang langsung untuk menyatakan sesuatu, bahkan wanita dianggap begitu hina dan jijik. Inilah yang digambarkan oleh al-Quran, sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati. Ia bersembunyi daripada orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang kelahiran anak perempuan): adakah ia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau ia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu.” (Surah An-Nahl, ayat 58-59)

Kedatangan Islam telah mengubah kedudukan wanita dengan memberi hak yang sama seperti kaum Adam. Peluang ini telah digunakan sepenuhnya oleh para sahabiah dizaman Rasulullah ﷺ seperti Saidatina Aisyah, Ummu Salamah, Rufaida, Asma’ dan ramai lagi untuk berganding bahu demi mempertahankan perjuangan Islam. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muaafakat.

Justeru itu, era ini sangat memerlukan wanita yang menyamai keberaniannya seperti Asma binti Abu Bakar, sanggup menghadapi kesukaran dan kepayahan hanyalah untuk menyelamatkan nyawa baginda Rasulullah ﷺ.

Ketika itu beliau sedang sarat mengandung, namun keberaniannya telah mengatasi segala-galanya. Beliau tetap akan membawa bekalan makanan walaupun musuh Islam sentiasa berlegar siang dan malam untuk membunuh Rasulullah ﷺ. Sehubungan itu, arus kejahilan moden telah mengubah tindak tanduk dan cara berfikir wanita muslimat kini, ketika larangan memakai tudung menjadi polimik di hotel. Pada tahun 2017, Presiden Malaysian Association of Hotels (MAH), Cheah Swee Hee, dilaporkan mempertahankan tindakan hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan kerana ia sebahagian daripada polisi antarabangsa.

Bagaimana tindak balas wanita muslimah di Malaysia ketika itu? Ramai yang tidak mengambil peduli bahkan ada yang tidak tahu langsung diskriminasi yang sedang dilakukan terhadap wanita yang cuba menjaga aurat mereka. Adakah sifat keberanian wanita moden kini, hanya digunakan untuk mendaki bukit, membuat terjunan tinggi atau ketika berkayak ? Keberaniaan yang sebenarnya adalah ketika mana ketika mempertahankan hak agama Islam.

Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana ‘Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?” Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: “Kamilah penolong-penolong agama Allah”….’ (QS 61: 14)

Dalil ini membuktikan bahawa orang yang membela agama mesti dizahirkan secara lisan dan seluruh tindak tanduknya.

Begitu juga wanita muslimah kini, dieksploitasi dengan menjadikan wajah,tubuh badan serta suara mereka untuk melariskan produk kecantikan, makanan, perhiasan majalah dan ruang-ruang iklan yang ada, samada melalui media cetak atau elektronik. Tanpa disedari , sifat malu semakin dibuangkan dan diambil alih sifat ‘peduli apa orang kata’.

Bagi pihak masyarakat pula, ianya bukanlah satu kesalahan kerana perbuatan itu adalah hak peribadi seseorang. Tiada siapa boleh mencampuri urusan dan menceroboh hak individu lain. Adakah umat Islam telah lupa kepada pesanan Rasulullah ﷺ? Apabila kamu melihat sesuatu kemungkaran hendaklah diubah dengan tangan(kuasa), apabila kamu tidak mampu cegahlah dengan lidah kamu(menasihati) dan apabila tidak mampu hendaklah dibenci kemungkaran terbabit, itulah selemah-lemahnya iman.

Kejahilan memahami Islam sebagai cara hidup semakin terserlah dikalangan generasi muda hari ini. Tidak mungkin akan lahir sikap berani untuk mempertahankan maruah diri tanpa ada kefahaman dan penghayatan Islam yang sebenarnya. Bahkan semakin ramai wanita Muslim yang bercita-cita untuk menjadi artis iaitu sebagai pelakon, penyanyi dan pelawak. Bukti lebih jelas, ketika diadakan uji bakat , kebanyakan yang hadir adalah dari kanak-kanak dan wanita Muslim.

Kalau seandainya ketika ini, adanya susuk tubuh seperti Nusaibah binti Kaab, Saidatina Aisyah binti Abu Bakar dan Hafsah binti Umar, nescaya tiada wanita Muslim yang berani menggadaikan maruah diri dan pihak yang tidak bertanggungjawab juga akan berlari ketakutan, kerana pastinya pedang Nusaibah akan berpusing ke kanan dan ke kiri sepertimana peristiwa perang Uhud. Bagaimana Nusaibah mempertahankan Rasulullah ﷺ ketika Baginda ﷺ dikepung oleh orang Quraisy. Rasulullah ﷺ memandang ke kanan nampak Nusaibah, toleh ke kiri juga nampak Nusaibah. Begitulah kehebatan para sahabiah ketika mempertahankan kebenaran. Mereka tidak menuntut keredaan selain dari Allah SWT.

Keberanian wanita tidak akan terbina tanpa ilmu pengetahuan. Pada zaman kecanggihan ini, umat memerlukan ketokohan dan kewibawaan yang menyerupai Saidatina Aisyah. Beliau adalah ummul mukminin yang menjadi sumber rujukan dan pusat pendidikan yang amat agung. Betapa hebatnya Saidatina Aisyah dari sudut penguasaan ilmunya sehingga jasanya dirasai sepanjang zaman. Jasa terbesar Aisyah bagi seluruh kaum wanita di dunia kerana ia mampu menunaikan seluruh kewajipan dan tanggungjawab dalam bidang dakwah, pendidikan dan pembabitan kemasyarakatan. Secara dasarnya, kehidupan Aisyah adalah neraca bagi kedudukan dan martabat wanita yang dianugerahkan oleh Islam kepada kaum wanita dan model yang hidup bagi mencapai ketinggian di dunia dan di akhirat.

Justeru itu, musuh Islam sentiasa mengintai dan mencari peluang untuk menjatuhkan Islam, melalui pelbagai pendekatan seperti tohmahan golongan Syiah kepada Saidatina Aisyah dengan gelaran yang begitu jijik seperti ‘humaira’ ditukarkan dengan ‘himar’ (keldai). Mereka tujuan lain mereka, selain hanya menjauhkan umat Islam daripada sumber yang asal iaitu hadis nabawi. Sedangkan Saidatina Aisyah adalah diantara perawi hadis yang paling banyak disamping Abu Hurairah dan sahabat yang lain. Sebanyak 1,210 hadis yang beliau riwayatkan telah disepakati oleh Imam Bukhari dan Muslim dan 174 hadis yang hanya diriwayatkan oleh Imam Bukhari serta 54 hadith yang hanya diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Ini jelas membuktikan, apabila mereka menghina Saidatina Aisyah, secara sedar atau tidak mereka telah menolak hadis sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Mereka begitu licik dalam melaksanakan operasi memurtadkan umat Islam. Justeru itu, bagi kaum wanita pada era globilasasi ini, penekanan kepada mengembalikan wanita yang beriman , iffah dan intelektual tidak hanya kepada ilmu yang diperolehi melalui segulung ijazah teotikal sahaja, tetapi apa yang lebih utama adalah pengamalan dan berusaha mengemblingkan tenaga untuk memberi kefahaman kepada setiap wanita Muslimah agar mencapai kebahagiaan yang hakiki. Kata pepatah Arab, ilmu yang tidak diamalkan seperti pokok yang tidak berbuah.

*Ustazah Norakhilah Baharin, Jawantankuasa I-Guru Cawangan

Tiada ulasan: