Ahad, 8 September 2019

Utamakan produk muslim jalan bantu bangunkan ekonomi Islam

DR AHNAD SANUSI AZMI 

 

Utamakan produk muslim jalan bantu bangunkan ekonomi Islam

RASULULLAH ﷺ memuji kaum al-Asy’ariyyin yang mempunyai sikap yang sangat istimewa. Kaum al-Asy’ariyyin ini adalah bangsa yang suka membantu kaumnya sendiri. Sabda Rasulullah ﷺ:

إن الأشعريين إذا أرملوا في الغزو، أو قل طعام عيالهم بالمدينة جمعوا ما كان عندهم في ثوب واحد، ثم اقتسموه بينهم في إناء واحد 
بالسوية، فهم مني، وأنا منهم


“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila kekurangan makanan keluarga mereka (di medan perang atau di Madinah), mereka akan himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan sesama mereka dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka.” (HR al-Bukhari)

2. Lihatlah hadis ini bagaimana ﷺ Rasulullah memuji kaum al-Asy’ariyyin yang saling bantu-membantu sesama mereka ketika susah. Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam al-Nawawi menyatakan:

في هذا الحديث فضيلة الأشعريين , وفضيلة الإيثار والمواساة

“Hadis ini menunjukkan kelebihan kaum al-Asy’ariyyin dan kelebihan sifat ithar (iaitu sifat saling mengutamakan) dan saling bantu membantu.”

3. Bahkan Rasulullah ﷺ turut memuji kaum al-Asy’ariyyin yang mencintai Islam dan banyak berkorban untuk Islam. Sabda Rasulullah ﷺ:

يقدم عليكم غدًا أقوام هم أرق قلوبًا للإسلام منكم، قال – رضي الله عنه -: فقدم الأشعريون، فيهم أبو موسى الأشعري

“Esok akan datang kepada kamu satu kaum yang hati mereka sangat lunak untuk Islam. (Lalu kata Saidina Anas), maka datanglah keesokan harinya kaum al-Asy’ariyyin dan di kalangan mereka terdapat seorang sahabat yang masyhur iaitu Abu Musa al-Asy’ari.”

4. Malah apa yang lebih menarik lagi, Allah memuji Abu Musa al-Asy’ari dan kaumnya dari al-Asy’ariyyin ini yang menangis kerana tidak dapat turut serta menyertai medan jihad kerana kekurangan harta. Firman Allah:

وَلا عَلَى الَّذِينَ إِذَا مَا أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لا أَجِدُ مَا أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ تَوَلَّوا وَأَعْيُنُهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُوا مَا يُنفِقُونَ

“Dan tidak berdosa bagi mereka yang ketika datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: “Tidak ada padaku apa yang boleh kuberikan untuk membawa kamu (untuk berjihad)”, mereka pulang dalam keadaan bercucuran air mata, mereka menangis sedih kerana tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).

5. Nah! di sinilah titik muhasabah buat kita! Perhatikan bagaimana Allah memuji kaum al-Asy’ariyyin kerana sifat mereka yang suka membantu perjuangan Islam. Rasulullah ﷺ pula memuji mereka kerana saling membantu sesama mereka. Mereka menangis kerana tidak dapat membantu Islam dan kaum Muslim.

6. Hari ini tidak salah untuk kita membantu saudara muslim kita. Mengutamakan produk mereka adalah salah satu jalan membantu membangunkan ekonomi muslim dan Islam.

7. Amat menyedihkan apabila ada di kalangan kita yang gagal memahami perjuangan murni ini dengan menyifatkannya dengan pandangan yang negatif. Mereka melemparkan pandangan buruk dengan memfitnah usaha ini berniat jahat atau satu boikot.

Semoga Allah menyatukan hati kaum muslim. Ayuh teruskan kempen mengutamakan produk muslim!  ISMA WEB.


Tiada ulasan: