Isnin, 23 September 2019

UMNO, Pas cuba gagalkan usaha pembangunan Kampung Baru – Khalid Samad

Kumara Sabapatty
MGF23092019_MAJLIS-PENYERAHAN-WATIKAH-AHLI-LEMBAGA-RAYUAN-WILAYAH-PERSEKUTUAN08
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bercakap semasa sesi sidang media pada Majlis Penyerahan Watikah Ahli Lembaga Rayuan Wilayah Persekutuan di Kementerian Wilayah Persekutuan, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI,
 

PUTRAJAYA – Pas dan UMNO didakwa cuba menggagalkan usaha kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Berikutan itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menasihati penduduk Kampung Baru agar tidak mendengar dakyah pembangkang yang cuba menghalang projek pemodenan Kampung Baru dengan memberi alasan nilai tawaran pengambilan tanah yang rendah.

Menurut Khalid, projek berkenaan adalah projek membangunkan ekonomi masyarakat Melayu dengan menjadikannya pembangunan komuniti moden yang selesa dan lengkap.

“Sepertimana Tun Mahathir (Mohamad) cakap ramai pemilik sendiri tak nak duduk di situ.
Walaupum pemilik dia tak selesa duduk dalam kalangan orang sewa, kebanyakannya warga asing yang bekerja di bandaraya.

“Kalau macam pihak pembangkang memang dia nak gagalkan. Janganlah kita dengar pihak pihak itu yang tuntut harga gila-gila.

“Kerajaan dulu tawarkan RM300 sekaki persegi kenapa tiba-tiba pula kamu (pembangkang) kata RM850 kaki persegi terlalu rendah sedangkan dulu kamu tawarkan RM300,” katanya selepas majlis Penyerahan Watikah Pelantikan enam Ahli-Ahli Lembaga Rayuan (Perancangan) dan Lembaga Penasihat Perancangan Wilayah Persekutuan hari ini.

Khalid menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan pembangkang bahawa harga pasaran semasa tanah di Kampung Baru ialah RM2,000 sekaki persegi.

Berikutan itu, beliau meminta UMNO dan Pas tidak bermain politik.

Menurut Ahli Parlimen Shan Alam itu, sesi townhall yang diadakan baru-baru ini mendapat sambutan baik apabila ebih 80 peratus pemilik tanah, atau 3,000 orang membabitkan 875 lot, hadir pada majlis itu.

Katanya, jika pembangkang mahukan mendapatkan maklumat nilai pasaran semasa, mereka disarankan mendapatkan kajian Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta dan bukannya daripada penjual. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: