Tindakan spontan Agong sentuh hati penerima anugerah
KUALA LUMPUR– Tindakan spontan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menuruni anak tangga singgahsana
untuk mengurniakan darjah kebesaran membuatkan Ketua Pengarah Institut
Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr Abd Latif Mohmod
berasa terharu dan dihargai.
Beliau yang ditemui pemberita selepas
istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan 2019 di Istana Negara
hari ini berkata, beliau sama sekali tidak menduga Seri Paduka akan
bertindak sedemikian selepas melihat beliau yang bertongkat akibat
kecederaan yang dialaminya 10 tahun dahulu ketika bertugas.
“Saya rasa terharu. Mungkin Yang
di-Pertuan Agong rasa saya susah untuk naik (anak tangga singgahsana)
sebab berjalan pakai tongkat.
“Sebenarnya saya terperanjat. Tuanku beri
signal (kepada saya) jangan naik (anak tangga singgahsana) dan bertitah
“Tidak apa saya turun”, kata Abd Latif yang menyifatkan tindakan Seri
Paduka itu sebagai satu penghargaan daripada seorang raja yang berhati
mulia kepada rakyat yang cuba berbakti kepada negara.
Menurut Abd Latif, Al-Sultan Abdullah juga sempat bertanya keadaan dirinya: “Dah lama ke sakit, boleh berjalan ke?.
Menjawab pertanyaan Seri Paduka, Abd
Latif memberitahu beliau boleh, tetapi tidak boleh berdiri lama kerana
pernah jatuh dulu sewaktu bekerja.
Pada istiadat pengurniaan hari pertama
hari ini, Abd Latif yang akan bersara pada tahun depan dikurniakan
Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’.
Pada tahun ini, Yang di-Pertuan Agong
berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan
kepada 795 individu daripada pelbagai kategori.
“Penghargaan ini adalah kurniaan terbaik
yang saya dapat di peringkat Persekutuan. Ini membuktikan kita perlu
terus berbakti dan berjasa bukan untuk diri sendiri tetapi untuk
negara,” katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan