Sabtu, 21 September 2019

Tembak tayar kereta suspek

Recqueal Raimi
 
 

TINDAKAN lelaki memandu secara berbahaya sehingga merempuh kenderaan polis merungkai rahsia dia membawa syabu, di simpang Pekan Goshen, di Kota Marudu, semalam.

Pada kejadian 12 tengah hari itu, polis berjaya memberkas suspek, lelaki warga Filipina berusia 42 tahun, apabila kereta itu terbabas selepas polis melepaskan tembakan ke tayar kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, sebelum kejadian, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, cuba menahan seorang lelaki yang berada di dalam kereta di parkir berhampiran sebuah pasar raya.

“Bagaimanapun, suspek terus memecut kenderaan sebelum pasukan polis mengejarnya lalu mengarahkan lelaki untuk berhenti.

“Suspek yang tidak mempedulikan arahan terus memecut laju sehingga melanggar dengan menghimpit kenderaan polis,” katanya dihubungi hari ini.

Menurut Mohd Izaan, tindakan suspek yang memandu secara berbahaya selain dikhuatiri membahayakan pengguna jalan raya lain menyebabkan salah seorang anggotanya melepaskan tembakan pada tayar kereta suspek.

“Tembakan itu menyebabkan suspek terbabas ke dalam parit di bahu jalan sebelum berjaya ditahan dan dibawa ke IPD Kota Marudu.

“Hasil pemeriksaan kereta suspek juga, polis menemui syabu seberat 20 gram.Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tiada ulasan: