Khamis, 19 September 2019

Risau tak dibicara dengan adil, Ku Nan mohon ketepi hakim


   
Bekas menteri wilayah Tengku Adnan Tengku Mansor memfailkan permohonan untuk mengenepikan hakim untuk perbicaraan pendakwaan rasuahnya yang dijadual bermula hari ini.

Setiausaha Agung BN itu berkata, beliau bimbang tidak akan mendapat perbicaraan yang adil daripada hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjatuhkan hukuman terhadap ahli perniagaan Tan Boon Eng, seorang lagi tertuduh dalam kes itu.

"Pada 8 September 2019, mahkamah yang mulia ini telah membenarkan permohonan pihak responden (pendakwa raya) antara lainnya untuk suatu perintah agar kes ini dibicarakan bersama (untuk tan dan dirinya).

"Pada 17 September 2019, Tan telah mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan dijatuhkan hukuman denda sebanyak Rm1.5 juta oleh mahkamah," kata Tengku Adnan dalam afidavitnya.

Afidavit itu menyatakan pemohon, iaitu Tengku Adnan, "khuatir dan risau tidak mendapat perbicaraan yang adil" dengan Mohd Nazlan.
Tan Boon Eng
"Saya percaya semasa pendengaran pengakuan salah Tan dan penjatuhan hukuman ke atasnya, hakim telah membaca fakta kes yang dibentangkan oleh pendakwaan. Saya khuatir Yang Arif Mohd Nazlan dipengaruhi oleh fakta kes tersebut.

"Tambahan lagi, menurut laporan akhbar, Tan telah setuju untuk memberi keterangan terhadap saya sebagai saksi pendakwaan untuk perbicaraan kes saya. Saya amat khuatir dan risau hakim akan percaya keterangan Tan memandangkan beliau telah mengaku salah," katanya lagi.

Tengku Adnan berkata beliau mahu kesnya dipindahkan ke mahkamah lain.

Mohd Nazlan kemudian menetapkan esok untuk mendengar permohonan tersebut. Permohonan itu difailkan di mahkamah kira-kira pada pukul empat petang semalam.

Pada 15 November 2018, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah antaranya terhadap tuduhan menerima rasuah berjumlah RM1 juta daripada Tan, untuk meluluskan permohonan syarikat untuk menaikkan ratio berkaitan pembangunan di Jalan Semarak Kuala Lumpur pada tahun 2013.

Tiada ulasan: