Selasa, 17 September 2019

Pastikan ‘Malaysian Malaysia’ DAP tak jadi kenyataan

ainulillia

 

DAP konon nak jadi juara selesai jurang perkauman dalam negara

BANGI– Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu bertegas menolak impian parti tamak dan haloba, DAP membawa gagasan ‘Malaysian Malaysia’, untuk dilaksanakan di negara ini. 

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, DAP sebenarnya berselindung di sebalik gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang dicanang-canang untuk menghapuskan hak bangsa Melayu Bumiputera, dan kedudukan agama Islam.

“Mereka berselindung di sebalik gagasan ini bagi menutup ketidakpuasan hati mereka. DAP kononnya hendak menjadi juara bagi menyelesaikan masalah jurang atau ketegangan yang berlaku antara orang Melayu dan kaum lain dengan memastikan peluang yang sama dapat dinikmati oleh semua kaum tanpa mengira warna kulit.

“DAP dengan idealogi perjuangan Sosialis Demokrat mendakwa, mereka menggunakan saluran demokrasi bagi membetulkan ketidakadilan sosial dan ekonomi, yang mahu menghapuskan ketidaksamaan dalam pembahagian kekayaan negara dan mahu menyusun semula sistem ekonomi negara yang dilihat menekan setengah pihak,” kata Dr Najihatussalehah.

Walhal, tegas beliau, pemimpin Melayu terdahulu telah pun berjaya meletakkan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai satu hak yang kekal dan dilindungi melalui peruntukan dalam Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan. 

Beliau menjelaskan, orang Melayu diiktiraf sebagai kaum Bumiputera dan pada masa yang sama bersetuju menerima kaum bukan Melayu sebagai rakyat Tanah Melayu. 

“Dengan ini, kaum bukan Melayu tidak perlu khuatir bahawa hak dan kepentingan ekonomi mereka akan hilang.

“Sistem politik Islam yang diperjuangkan oleh PAS tidak pernah menafikan hak mana-mana kaum atau bangsa kerana prinsip Islam adalah prinsip yang berasaskan kepada Pencipta sekalian alam yang bersifat Maha Sempurna,” katanya.

Justeru, Muslimat PAS membantah dan menggesa agar Gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang tercetus dari mulut pemimpin DAP tidak menjadi kenyataan. 

“Jangan bakar amarah rakyat. Jangan ancam kedaulatan dan keselamatan negara Malaysia yang tercinta. Kerajaan perlu tolak dan menghapuskan terus impian gagasan ‘Malaysian Malaysia’,” tegasnya.

Gagasan ‘Malaysian Malaysia’ atau Malaysia milik rakyat Malaysia adalah prinsip asas parti rasis dan cauvinis, yang menolak dasar dan amalan yang hanya mengutamakan sesuatu kaum, agama, jantina, serta mengabaikan yang lain, kononnya  ia adalah diskriminasi ke atas kaum lain di Malaysia.


Tiada ulasan: