Jumaat, 13 September 2019

MCA hantar wakil saksikan piagam Umno-PAS

MALAYSIAKINI

   

MCA akan menghantar wakil bagi memenuhi jemputan untuk menyaksikan upacara menandatangani piagam kerjasama antara Umno dan PAS Sabtu ini.

"MCA turut dijemput untuk menyaksikan upacara menandatangani piagam kerjasama ini dan kami akan menghantar wakil untuk majlis tersebut.

"Ini adalah untuk menunjukkan semangat solidariti Barisan Nasional serta memastikan perhimpunan ini akan mematuhi nilai-nilai kepelbagaian dan kesederhanaan," kata kenyataan yang dikeluarkan parti komponen BN itu hari ini.

MCA berkata kerjasama politik dalam parti pembangkang terutamanya melibatkan Umno dan PAS adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Bagaimanapun, tambah kenyataan itu, MCA menegaskan bahawa mana-mana parti komponen dalam BN yang ingin bekerjasama dengan parti-parti lain di luar komponen perlulah menghormati prinsip konsensus, nilai kepelbagaian dan Perlembagaan Persekutuan.

"MCA tiada halangan dan sentiasa menghormati kerjasama mana-mana parti politik dalam blok pembangkang selagi ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan menegakkan nilai-nilai kepelbagaian serta kesederhanaan," kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, Umno sebelum ini telah berbincang bersama pemimpin MCA dan MIC bagi membincangkan hasrat menandatangani piagam dan memorandum persefahaman dengan PAS.

"Umno juga bersetuju bahawa Himpunan Penyatuan Ummah ini menjangkaui semua kaum dan kesemua pimpinan mencapai persetujuan ia tidak melanggar semangat kesederhanaan sebagaimana yang dipromosikan BN," kata kenyataan itu.

Piagam berkenaan terhasil selepas berbulan perbincangan antara kedua-dua parti pembangkang itu.

Dokumen itu dilihat sebagai titik bersejarah buat kedua-dua parti yang menamatkan perseteruan politik puluhan tahun.

Kedua-dua parti itu menjangkakan 2,000 perwakilan hadir di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.


Tiada ulasan: