Sabtu, 28 September 2019

Legenda bola sepak M Chandran meninggal dunia

MALAYSIAKINI

   

Legenda bola sepak negara M Chandran meninggal dunia hari ini, pada usia 77 tahun.

Pemain pertahanan skuad kebangsaan dan Selangor era 1960-an dan 1970-an itu meninggal dunia di kediamannya di Ampang Jaya, Selangor, pada pukul 7.30 pagi tadi.

Menurut Berita Harian, beliau sebelum ini mengalami jangkitan paru-paru yang serius dan menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur bulan lalu.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) Noorul Ariffin Abdul Majeed, meyifatkan pemergian Chandran sebagai kehilangan besar dalam arena sukan negara.

“Kita kehilangan salah seorang wira negara dan kami amat terhutang budi dengan segala jasa dan bakti yang sudah dicurahkan,” katanya seperti dipetik.

Dilahirkan pada 1942, anak kelahiran Sungai Siput, Perak itu mula bergiat aktif dalam bola sepak pada awal 1960-an.

Beliau bermain di posisi pertahanan dan pernah mewakili negara sebanyak 163 kali. Selepas itu mendiang menjadi jurulatih Selangor dan Malaysia.

Antara pencapaiannya ialah bersama-sama skuad negara untuk layak ke Sukan Olimpik Munich pada 1972.

Mendiang meninggalkan seorang balu, Pushtalata dan dua orang anak lelaki, C Kumarason, 38, dan C Vicknaraj, 36 tahun.


Tiada ulasan: