Khamis, 12 September 2019

Imigresen tolak kemasukan 30,000 warga asing tahun ini

fazleen safina 

 

922 majikan ditahan kerana lindungi pendatang asing tanpa izin

PUTRAJAYA– Jabatan Imigresen menolak kemasukan kira-kira 30,000 warga asing ke negara ini kerana tidak memenuhi syarat untuk masuk ke Malaysia, antaranya pelancong dan pekerja asing yang tidak dituntut oleh majikan.

Bilangan mereka yang diberi notis penolakan kemasukan itu adalah bagi tempoh Januari hingga 10 September tahun ini.

Paling tinggi yang tidak dibenar masuk dan diarah pulang semula ialah rakyat Indonesia, Bangladesh dan China walaupun mereka datang dengan pas yang sah di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam temu bual bersama Bernama, di pejabatnya, di sini.

“Kebanyakan mereka cuba masuk sebagai pelancong dan bila ditanya tempat tinggal mereka tidak tahu, dan di mana mereka ini akan tinggal, pas lawatan sosial cuma mempunyai 30 hari dan mereka mempunyai duit RM200 di dalam poket.

“Mereka ini disyaki masuk untuk bekerja cuba mencari peluang bekerja di mana-mana pusat hiburan. Saya tidak nafikan ada sindiket yang bawa masuk pelancong-pelancong wanita daripada China ini,” katanya.

Beliau berkata, langkah-langkah pengawasan yang ketat di pintu-pintu masuk negara itu adalah bagi memastikan tiada warga asing yang diragui dapat membolosi pintu-pintu masuk negara sekali gus mengatasi masalah pendatang tanpa izin.

Mengikut statistik pendatang tanpa izin tahun ini (sehingga 10 September), sejumlah 12,142 adalah rakyat Indonesia, diikuti Bangladesh (8,056); Myanmar (3,635); Filipina (3,149); Thailand (2,127); India (2,006); Pakistan (1,436); Vietnam (1,313); China (800); Nepal (765) dan lain-lain (1,215).

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya setiasa berusaha keras untuk memastikan masalah pendatang tanpa izin di negara ini ditangani dan pelbagai langkah dan operasi sentiasa dilaksanakan bagi memastikan Malaysia bebas daripada masalah pendatang tanpa izin.

Sejumlah 12,448 operasi dijalankan di seluruh negara dalam tempoh 1 Januari hingga 10 September dengan jumlah keseluruhan warga asing yang diperiksa ialah 146,777 orang dan daripada jumlah itu, seramai 36,684 pendatang tanpa izin ditahan.

Katanya, turut ditahan dalam tempoh itu adalah 922 orang majikan kerana menggaji atau melindungi pendatang tanpa izin.

Turut diperiksa ialah 3,399 orang pemegang kad UNHCR, katanya.

Beliau berkata, daripada operasi yang dijalankan, kebanyakan warga China masuk sebagai pelancong dan diberi pas lawatan sosial selama 30 hari dan terdapat kes-kes mereka menyalahguna pas sosial dengan bekerja di pusat-pusat hiburan.

“Bagi warga Afrika dan Nigeria pula, kebanyakan mereka ini adalah student mula-mula semestar pertama dan kedua mereka ini belajar, (lepas itu) mula tidak pergi kelas,ponteng, apabila mereka ini fail (gagal) dalam ujian, pas pelajar mereka ini tidak boleh diperbaharui dan (mereka) tinggal lebih masa di sini melakukan pelbagai kesalahan seperti love scam…ramai kami tangkap dalam operasi…itu tidak ada angka, kami akan jumpa mereka ini semasa operasi dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, agak sukar bagi jabatan itu mengesan mereka yang tinggal lebih masa dan bagi menyelesaikan masalah itu, satu sistem baharu iaitu Imigration Integrated System sedang dibangunkan, yang boleh mengesan mereka yang masuk sebagai pelancong dan tinggal lebih masa.

Bagi warga asing yang berniaga termasuk di pasar-pasar borong pula, beliau berkata, perkara itu banyak berkait dengan persepsi masyarakat dan apabila pihaknya mengambil tindakan dengan menjalankan operasi mendapati warga asing berkenaan sebenarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai permit yang sah.

“Kadang kala aduan yang diterima membabitkan warga asing yang berniaga, dan terdapat segelintir masyarakat kita apabila melihat warga asing yang berniaga, terus dikatakan pendatang tanpa izin tidak diambil tindakan, sedangkan bila kami membuat semakan mereka ini sebenarnya berkahwin dengan rakyat tempatan.

“Ramai yang berkahwin dengan rakyat tempatan dan mereka boleh menjalankan perniagaan dengan menggunakan lesen atas nama isteri suami warga tempatan itu. Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik untuk menangani isu keberadaan warga asing di negara ini,” katanya. -Bernama
 
 

Tiada ulasan: