Selasa, 24 September 2019

‘Hari ini nampak cerah, pelancongan tak terjejas’


   

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi berkata isu jerebu yang melanda negara ini tidak menjejaskan sektor pelancongan.

Malah, katanya cuaca pada hari ini semakin baik.

“Hari ini dah nampak cerah. Tak ada kesan. Kesan sedikit pembatalan (penerbangan) baru-baru (ini), itu sahaja.

‘’Itu pun dua tiga hari, buat sementara (waktu sahaja),’’ katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pameran Harumanis, di Galeri Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), hari ini.

Majlis itu turut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Jamalullail.
Sebuah portal semalam melaporkan ribuan pelancong China membatalkan percutian di Malaysia dan memilih negara Asean lain ekoran fenomena jerebu yang melanda negara.

Disoal mengenai laporan itu, Mohammadin yang juga ahli parlimen Silam, Sabah berkata jumlah itu “tak banyak sangat”.

“Itu berlaku semasa jerebu jadi teruk di sini tapi nampaknya hari ini dah mula baik.

“Taklah banyak, kalau banyak tak menjejaskan pun. Saya rasa dah pulih semula mereka akan datang (ke Malaysia),” katanya.

Kualiti udara di seluruh negara bertambah baik tengah hari ini apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus menunjukkan penurunan dengan hanya 14 kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat berbanding 25 kawasan pada 7 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan jerebu yang melanda negara sejak dua minggu lepas bertambah baik berikutan fasa peralihan monsun akan bermula hari ini sehingga awal November.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.


Tiada ulasan: