Khamis, 19 September 2019

Hanya 2 restoran mamak Kuantan miliki sijil halal

fazleen safina

 

amai pelanggan alasan tak mahu mohon sijil halal

KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan hanya dua restoran mamak di negeri ini memegang sijil halal, dengan kedua-duanya beroperasi di daerah ini.

Timbalan Pengarah JAIP Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz berkata, mereka berhasrat mahu meningkatkan kesedaran memiliki sijil halal kepada pengusaha restoran mamak dan kedai lain secara amnya, menerusi kempen dan kaedah turun padang.

Katanya, keengganan pengusaha memohon sijil itu berkemungkinan kerana perniagaan menerima ramai pelanggan sehingga tidak memberi kesan terhadap keperluan memiliki sijil itu.

“Melalui pemantauan yang dilakukan, pengusaha ini cukup selesa dengan kehadiran ramai pelanggan yang menyebabkan ada di antara mereka tidak mahu memohon sijil walaupun prosesnya tidaklah rumit.

“Mereka hanya perlu bayar RM200 bagi tempoh dua tahun pemilikan sijil halal, dengan segala syarat seperti maklumat berkenaan bahan mentah serta segala aspek kebersihan dipenuhi,” katanya.

Mohd Ghazali berkata demikian kepada pemberita, semasa ditemui pada Majlis Penyerahan Sijil Halal kepada dewan makan Maahad Tahfiz Negeri Pahang di sini hari ini, kepada Pengerusi Ikip Advanced Skills Centre (IASC), Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil.

Selain proses permohonan yang mudah, Mohd Ghazali berkata, pengusaha restoran juga tidak perlu bimbang jika tidak mempunyai kakitangan untuk menguruskan hal itu, kerana kakitangan JAIP bersedia membantu memudahkan urusan.

“Memiliki sijil halal memberi nilai tambah kerana ia memastikan kualiti penyediaan makanan termasuk kandungannya adalah bersih, selamat dan mengikut syarak. Walaupun tidak mempunyai sijil, kita tahu penyediaan makanan oleh mereka yang Islam, insya-Allah mengikut hukum,” katanya.

Beliau juga berkata, sebanyak 452 sijil halal telah dikeluarkan kepada premis perniagaan meliputi kedai makan, pembekal bahan mentah serta hotel di Pahang, setakat ini.

“Peningkatan sebanyak 60 peratus pemilik sijil halal dicatatkan pada tahun ini berbanding tahun lepas. Ia menunjukkan kesedaran mengenai keperluan memiliki sijil halal semakin meningkat walaupun agak perlahan.

“Jika pengusaha masih berdegil, maka ia terserah kepada pengguna untuk membuat pilihan. Kuasa pengguna sangat besar dan ia mampu mengubah pendirian peniaga yang masih berdegil dalam isu sijil halal,” katanya. -Bernama


Tiada ulasan: