Isnin, 9 September 2019

Guan Eng selar MCA, MIC tak bantah PAS, Umno sokong boikot produk bukan Islam

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyelar MCA dan MIC yang tidak membantah secara terbuka terhadap sokongan diberikan oleh PAS dan Umno dalam kempen yang mendorong orang ramai memboikot produk bukan Islam.

“Walaupun kempen boikot seperti ini, ia disesali ada parti politik bukan Islam atau bukan Bumiputera seperti MCA atau MIC, yang tanpa segan silu menjatuhkan maruah mereka dengan meneruskan kerjasama politik mereka dengan PAS dan Umno.

“Setakat ini, mereka tidak berani bantah secara langsung kepada ‘master’ politik mereka dalam PAS dan Umno.

“Ini memaparkan perbezaan antara pendekatan yang dipertimbangkan dalam PH berbanding gabungan Umno-PAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim yang juga menteri kewangan mengkritik pemimpin PAS dan Umno yang “terus memberikan sokongan kepada kempen memecahbelah dan merosakkan ini” tanpa menamakan mereka.

Lim juga bersetuju dengan kenyataan Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) bahawa kerajaan lambat bertindak menentang kempen boikot tersebut.

Beliau berkata DAP bersetuju dengan Patriot bahawa semua pihak mesti berfikir sebagai rakyat Malaysia kerana jika tidak ditentang ia akan menimbulkan bahaya dan menggugat perpaduan negara.

“Hanya selepas kempen boikot disokong secara terbuka oleh pemimpin tertinggi Umno dan PAS dan meningkatkan perhatian umum dengan memainkan sensitiviti agama dan perkauman yang melampau,” katanya.

Semalam, Patriot mempersoal cara kerajaan menangani gerakan boikot produk keluaran bukan Islam dengan berkata, pimpinan kerajaan PH “tidak bertindak dengan cukup tegas untuk menghindarkan perkara ini daripada terus berleluasa”.

Presiden Patriot Arshad Raji berkata, anggota Kabinet didapati teragak-agak untuk bertindak dan menunggu arahan daripada perdana menteri.

Terdahulu, kerajaan bersetuju gesaan memboikot produk keluaran bukan Islam adalah tidak wajar dan boleh menggugat keharmonian negara.

Mengulas lanjut, Lim mengingatkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pernah meminta mereka yang bertanggungjawab untuk menghentikan gerakan memboikot produk dan perkhidmatan bukan bumiputera.

“Kabinet mengeluarkan kenyataan beberapa hari lalu, membantah pemulauan itu sebagai membahayakan perpaduan negara, sebaliknya menggesa kempen membeli produk dan perkhidmatan Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan: