Rabu, 25 September 2019

BERJASA desak Tommy lepas jawatan AG

Mohd Zaini Samsu Hadi
Presiden Parti BERJASA, Datuk Badhrulhisham Abdul Aziz. foto AFFAN FAUZI, 29 MEI 2019
Presiden Parti BERJASA, Datuk Badhrulhisham Abdul Aziz. foto AFFAN FAUZI


KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mendapat tekanan berterusan daripada NGO malah pemimpin parti-parti politik yang menggesa beliau melepaskan jawatannya susulan keputusan mahkamah koroner terhadap dirinya pada Isnin lalu.

Hari ini Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) turut mendesak Thomas supaya meletak jawatan sebagai Peguam Negara kerana tindakan didakwanya menghina mahkamah dan menyalahi prinsip perundangan inkues dan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Presiden BERJASA, Datuk Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, Thomas tidak mempunyai kredibiliti dan integriti dalam menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara.

Beliau yakin tindakan Thomas itu boleh menghilangkan kepercayaan rakyat kepada institusi perundangan negara.

“Beliau patut malu. Menghina mahkamah dan menyalahi prinsip perundangan inkues adalah kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Peguam Negara.

“Malah, kepercayaan orang ramai kepada sistem perundangan akan terjejas disebabkan kesalahan yang beliau lakukan,” katanya menerusi kenyataan hari ini

Sebelum ini, pemimpin Pas dan UMNO turut menyuarakan perkara sama apabila mendesak Thomas melepaskan jawatan ekoran keputusan mahkamah itu.

Isnin lalu, Hakim Koroner, Rofiah Mohamad yang mengendalikan kes Allahyarahm Muhammad Adib memutuskan secara prima facie bahawa Thomas menghina mahkamah menerusi afidavit yang difailkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 3 April lalu.

Dalam penghakiman 14 muka surat Koroner Rofiah secara panjang lebar menghuraikan mengapa mahkamah menerima prosiding komital tersebut.

Menurutnya, mahkamah menerima permohonan Mohd. Kassim, 65, berdasarkan beberapa faktor antaranya hujahan pemohon, percaya Tommy menggunakan kedudukan mengenai punca kematian Muhammad Adib.

Peguam Negara itu secara subjudis menyatakan pendirian awal mengenai punca kematian pegawai bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang masih menjadi persoalan cuba dirungkaikan di dalam inkues.

Pada 27 Ogos lalu, keluarga Allahyarham Muhammad Adib memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Koroner untuk memulakan prosiding komital (menghina mahkamah) terhadap Thomas berhubung punca kematian anggota bomba tersebut dalam insiden yang berlaku tahun lalu.

Mahkamah Koroner mengeluarkan penghakiman penuh berhubung keputusan permohonan bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib iaitu anggota bomba dan penyelamat, Mohd Kassim Abdul Hamid untuk memulakan prosiding komital terhadap Tommy.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, beliau menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: