Rabu, 11 September 2019

Bantahan KM Pulau Pinang pasti semarakkan lagi kempen BMF

siti hafidah 

 

Kenapa Chow Kon Yeow takut sangat Kempen Beli Produk Muslim?


BANGI– Presiden Gerakan Islam sederhana, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya yakin tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, mencampuri urusan Kempen Beli Produk Muslim hanya akan membakar semangat umat Islam untuk menyokong produk muslim.

Terdahulu, kerajaan Pulau Pinang beranggapan kempen ‘Beli Produk Muslim Dahulu’ yang dilancarkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di negeri itu Ahad lalu, sebagai tidak produktif dan meminta kempen itu dihentikan.

Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak bercadang untuk campur tangan dalam kempen yang dianggap tidak baik untuk sistem ekonomi pelbagai bangsa dan keharmonian masyarakat.

Beliau turut menyifatkan kempen itu akan menjadi usaha yang sia-sia dan tidak produktif kepada ekonomi dan harus dibatalkan.

Membidas kenyataan biadab pemimpin parti tamak dan haloba, DAP, Aminuddin yang juga Pengerusi UMMAH berkata, kenyataan Chow hanya akan membakar semangat umat Islam untuk membeli produk-produk dan di kedai-kedai milik muslim.

“Ketua Menteri Pulau Pinang pula masuk gelanggang untuk cuba menghalang kempen ini. Kenapa orang Islam kena dengar cakap beliau?

“Kenapa beliau takut sangat pada kempen Beli Produk Muslim sampai terpaksa mengeluarkan kenyataan sebegini?” soal beliau dalam satu kenyataan.

Aminuddin menegaskan bahawa perjuangan UMMAH yang membawa suara rakyat di negara ini masih belum selesai.

“Banyak lagi usaha kita dalam memperkasakan ekonomi umat Islam,” kata beliau.

Sebelum ini, UMMAH memulakan kempen Beli Produk Muslim di Pulau Pinang dengan matlamat untuk menaikkan kuasa beli umat Islam di negeri itu dan pada masa yang sama membantu komuniti perniagaan Islam di negeri berkenaan.

Timbalan Pengerusi Kebangsaan UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, Pulau Pinang dipilih kerana negeri itu mempunyai ekosistem perniagaan yang baik dan merupakan salah sebuah bandar terbesar di wilayah utara.

Kempen Beli Produk Muslim dilancarkan UMMAH bersama NGO lain bertujuan memberi galakan kepada ekonomi orang Islam selain mengetengahkan produk serta perkhidmatan halal di seluruh negara.

UMMAH telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama KOHILAL dan Abata, dalam usaha melaksanakan kempen berkenaan.

Kempen Beli Produk Muslim juga memfokuskan kepada peniaga yang tidak diberi ruang oleh pasaraya-pasaraya besar untuk memasarkan produk mereka.


Tiada ulasan: