Sabtu, 17 Ogos 2019

Zakir Naik disoal siasat berjam-jam, polis kunci mulut


    Pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik menghabiskan beberapa jam di ibu pejabat polis Bukit Aman untuk memberi keterangan.

Pendakwah warganegara India itu dipercayai tiba sebelum jam 3 petang lagi, iaitu sebelum petugas media berkumpul di ibu pejabat polis itu.

Selepas beberapa jam, Zakir akhirnya dilihat keluar dari balai polis pada jam 8.15 malam, diiringi tiga orang individu dalam kenderaan Toyota Innova.

Dipercayai, kenyataa Zakir diambil oleh Bahagian Siasatan Jenayah (CID) Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Bukit Aman.

Difahamkan, dua kertas siasatan dibuka terhadap Zakir, satu berhubung kenyataannya terhadap kaum India, dan satu berhubung kenyataannya terhadap kaum Cina - yang dibuat dalam ceramah di Kelantan Khamis lalu.

Bagaimanapun, buat masa ini, tiada kenyataan rasmi diberikan oleh pihak polis berhubung kes itu.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa pihak polis akan memanggil Zakir, ahli perniagaan Koon Yew Yin dan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) untuk disoal siasat.

Muhyiddin turut memaklumkan bahawa beberapa individu lain telah dipanggil dan ada yang dipantau polis, serta memberitahu bahawa tindakan selanjutnya akan diambil termasuk pendakwaan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan jika terdapat bukti yang mencukupi.

Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan, yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed memaklumkan bahawa polis telah menerima sebanyak 115 laporan terhadap Zakir Naik manakala enam laporan polis diterima terhadap Dong Zong.

Tiada ulasan: