Selasa, 27 Ogos 2019

'Toyol' masjid kena gari

Ravale Savarinathan
 
 

POLIS berjaya menahan seorang lelaki dipercayai suspek dirakam kamera litar tertutup (CCTV) ketika cuba memecahkan tabung Masjid al-Khairiah, Selekoh, Bagan Datuk, kelmarin.

Difahamkan, suspek berusia 25 tahun itu ditahan jam 2.30 pagi, hari ini, selepas polis berjaya mengecam wajahnya melalui CCTV masjid dan rakaman itu turut tular di laman sosial Facebook, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, polis sebelum itu menerima laporan daripada pengerusi masjid memaklumkan terdapat cubaan memecah tabung masjid.

Katanya, suspek dipercayai memasuki masjid berkenaan dan cuba memecahkan tabung masjid pada jam 10 pagi, Sabtu lalu, namun gagal selain perbuatannya berjaya dirakam CCTV masjid.

“Suspek ditahan awal pagi, hari ini, dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebelum direman selama tiga hari bagi membolehkan polis mengenalpasti pembabitannya dalam kes lain.

“Dengan tangkapan ini, polis percaya dapat menyelesaikan dua lagi kes pecah tabung masjid di Rungkup selain kes di Masjid al Khairiah,” katanya dalam kenyataannya.

Mohd Marzukhi berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua kes membabitkan dadah dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan

Tiada ulasan: