Selasa, 27 Ogos 2019

Sisters in Islam kecewa dengan keputusan mahkamah

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF27082019_KEPUTUSAN-SISTER-IN-ISLAM_12
Pengarah Eksekutif Sisters in Islam, Rozana Isa (kiri) bersama penyokong Sisters in Islam (SIS), Datuk Marina Mahathir ketika keluar dari mahkamah berkenaan keputusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Sisters in Islam (SIS) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – Sisters in Islam (SIS) melahirkan rasa kecewa dengan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan untuk mencabar fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama Selangor terhadap mereka lima tahun lalu.

Pengarah Eksekutifnya, Rozana Isa berkata, pihaknya sudah menjangkakan keputusan tidak akan memihak kepada mereka.

“Kami akan berbincang dengan peguam sama ada akan membuat rayuan atau membawa kes ini ke mahkamah syariah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas penghakiman berkenaan hari ini.

Marina Mahathir yang turut hadir di mahkamah juga berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan itu.

Katanyaa, ia meletakkan syarikat yang mempunyai orang Islam sebagai pengarah juga terkesan dengan fatwa tersebut.

“Berdasarkan keputusan itu, mengikut kefahaman saya sebagai orang Islam, menjadi pengarah syarikat, mereka perlu berhadapan dengan undang-undang syariah,” ujarnya.

Dalam permohonan mereka, SIS turut memohon perisytiharan keputusan Jawatankuasa Fatwa dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui fatwa berkenaan yang mengarahkan sekatan dibuat ke atas laman-laman sosial adalah bercanggah dengan Seksyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mereka turut memohon perisytiharan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS melalui fatwa itu adalah ultra-vires (melampaui batasan undang-undang).

Jawatankuasa Fatwa Selangor mengeluarkan fatwa bahawa SIS sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam pada 17 Julai 2014.

Fatwa berkenaan kemudiannya digazetkan pada 31 Julai tahun sama.

SIS memfailkan semakan kehakiman pada Oktober 2014 untuk mencabar keputusan itu.

Ia itu turut memohon perisytiharan bahawa sebagai syarikat berhad mengikut jaminan di bawah Akta Syarikat 1965, ia tidak tertakluk dan terikat dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS.

Hakim Mahkamah Tinggi, Nordin Hassan sebentar tadi menolak semakan kehakiman kes itu dengan kos RM10,000.

Nordin berkata, sebagai sebuah syarikat yang mana pengarahnya terdiri daripada orang Islam, aktiviti SIS Forum juga terikat dengan undang-undang Islam dan fatwa. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: