Rabu, 28 Ogos 2019

Shafee: Buktikan Najib tahu 'derma Saudi' palsu, baru boleh hukumnya



   

KES NAJIB | Pasukan pembelaan tidak yakin pendakwaan mampu mengaitkan Najib Razak dalam pertuduhan pengubahan wang haram dalam kes dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion.

Mengulas pernyataan pembukaan pendakwaan hari ini, ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah mendakwa sumber wang yang dibelanjakan bekas perdana menteri itu tidak menjadi isu.

Sebaliknya, kata Shafee, apa yang penting dalam kes itu ialah sama ada Najib tahu wang yang disalurkan ke akaunnya berasal dari 1MDB.

"Kami sentiasa mengatakan apa saja berkenaan wang itu, anak guam saya sejujunya percaya ia datang dari raja Saudi, kerana dia bertemu raja Saudi dan ada janji berkenaan AS$1 bilion (RM4.21 bilion)," katanya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

"Dan wang itu memang ke akaunnya. Ini pembelaan kami, kami sentiasa menyebutnya, tiada rahsia.

"Persoalannya, bagaimana anda sangkal bahawa inilah keyakinannya? Saya tak peduli dari mana wang datang dalam pendakwaan (pengubahan wang haram) ini, kerana dia sentiasa yakin ia adalah derma."

Shafee menjawab soalan berkenaan hari pertama perbicaraan 1MDB yang ditunggu-tunggu hari ini, dan pernyataan pembukaan ketua pendakwaan Gopal Sri Ram.

"Jadi sama ada dokumen palsu atau tak, anda (pendakwaan) buktikannya. Malah jika anda dapat buktikannya, anda perlu buktikan Najib tahu ia dipalsukan.

"Saya tak peduli sama ada Low Taek Jho tahu. Adakah Najib tahu? Hanya selepas itu anda boleh hukumnya," kata Shafee.
Shafee ditanya berkenaan kenyataan pendakwaan bahawa Najib dan Low telah mengambil langkah untuk menutup jejak mereka, termasuk memalsukan dokumen untuk menunjukkan memang ada derma dari Arab Saudi.

'Anak guam saya diperdaya'

Dalam pada itu, beliau berkata tidak sabar untuk melihat bagaimana pendakwaan mahu membuktikan Low ialah "alter ego" Najib.

Beliau membangkitkan tentang nama Low yang disebut dalam perbicaraan SRC International, di mana pasukan pembelaan mendakwa ahli perniagaan itu memperdaya banyak pihak, termasuk Najib.

Katanya lagi, pembelaan Najib untuk kes 1MDB juga akan sama dengan hujah yang digunakan dalam kes SRC International.

"Anak guam saya diperdaya. Dan salah satu nama yang kita sebut ialah Low. Dia perdaya AmBAnk, 1MDB, malah ketika 1MDB masih (dikenali) sebagai Terengganu Investment Authority.

"Kita akan bangkitkan perkara ini. Untuk mengatakan anak guam saya 'alter ego', saya nak tengok mereka buktikannya. Saya tak mahu ulas lanjut, saya tak mahu sub judice," katanya lagi.

'Janji hebat pendakwaan'

Dalam pada itu, Shafee berkata pihak pendakwaan menjanjikan banyak perkara dalam pernyataan pembukaan mereka, sama seperti yang dilakukan pihak pendakwaan dalam perbicaraan SRC International.

"Anda boleh lihat dalam kes SRC, ada janji yang hebat, tetapi pada akhir perbicaraan, anda boleh buat keputusan sendiri sama ada janji itu ditunaikan atau tidak."

Shafee mendakwa pihak pendakwaan kes SRC International bergelut untuk mengaitkan Najib dengan Jho Low.

"Inilah yang saya ingin tahu, faktanya dia (Jho Low) tiada di sini. Siapa yang anda (pendakwaan) akan panggil untuk katakan ada pakatan sulit (antara Najib dan Jho Low)."

Ketika membacakan pernyataan pembukaan di hari pertama perbicaraan 1MDB hari ini, Sri Ram berkata Najib dan Jho Low cuba menutup skandal 1MDB selepas ia menjadi perhatian umum pada 2015.

Ia termasuklah membuat dokumen palsu untuk menunjukkan Najib menerima wang daripada kerabat Arab Saudi di saat ia sebenarnya dari syarikat milik kerajaan itu, katanya.

Mendakwa Najib berpakat dengan Jho Low, Sri Ram menyifatkan ahli perniagaan yang diburu itu sebagai bayangan kepada Najib.


Tiada ulasan: