Rabu, 14 Ogos 2019

RUU tukar agama sebelah pihak Selangor mungkin ganti keputusan Indira, kata peguam

Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari 2018 memutuskan 
sebarang penukaran agama kanak-kanak bukan Islam harus 
mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.
 
PETALING JAYA: Beberapa peguam bimbang pindaan perkataan dalam enakmen penukaran agama anak bawah umur di Selangor boleh menyebabkan ia mengatasi keputusan bersejarah Mahkamah Persekutuan dalam kes M Indira Gandhi.

M Manoharan memberitahu FMT, jika pindaan itu diluluskan, perlembagaan negeri boleh menggantikan undang-undang kes Mahkamah Persekutuan.

“Isu penukaran agama di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan keputusan kes Indira di Mahkamah Persekutuan mungkin tidak terikat kepada Mahkamah Syariah.”

Dalam penghakiman bersejarah pada Januari 2018, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan penukaran agama anak bawah umur memerlukan kebenaran kedua-dua ibu dan bapa.

Selangor bercadang meminda enakmen negeri menerusi rang undang-undang (RUU) untuk membenarkan penukaran agama anak bawah umur secara sebelah pihak, iaitu ibu atau bapa.

Manoharan menyentuh kes seorang anak guamnya yang beragama Hindu dalam proses perceraian dengan isteri yang memeluk Islam baru-baru ini.

Isteri anak guamnya itu memfailkan hak penjagaan ke atas 4 daripada 7 anak mereka. Tetapi, mahkamah memberikan hak penjagaan penuh ke atas semua 7 anak itu yang berusia 3 hingga 17 tahun kepada anak guamnya.

Manoharan mempersoalkan apa yang akan berlaku jika kerajaan Selangor berjaya dalam pindaan enakmen itu.

“Kecuali Perlembagaan Persekutuan dipinda sejajar keputusan kes Indira, tiada jaminan untuk 7 anak kepada anak guam saya yang kini beragama Hindu.”

Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dilaporkan berkata, usul pindaan enakmen itu mungkin dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri akan datang, jika ada kepentingan.

Beliau berkata demikian walaupun terdapat bantahan DAP yang menyifatkan RUU itu tidak berperlembagaan.

Amirudin berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan semua pihak, termasuk pimpinan Pakatan Harapan di peringkat negeri dan pusat sebelum merujuk RUU itu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Seorang lagi peguam, Lim Wei Jiet bersetuju kebimbangan Manoharan itu berasas.

“Jika satu enakmen diluluskan untuk membenarkan penukaran agama sebelah pihak, seorang ibu atau bapa boleh menyalahgunakannya dengan menukar agama anaknya kepada Islam,” katanya kepada FMT.

“Ini akan mengecualikan ibu atau bapa bukan Islam daripada proses penjagaan yang sesetengah pihak akan berhujah ia dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, di mana orang bukan Islam tiada hak untuk hadir.”
Peguam, Surendra Ananth berkata, Mahkamah Syariah akan mengguna pakai enakmen Islam Selangor.

Katanya, terpulang kepada mahkamah sivil untuk mengisytiharkan pindaan itu tidak berperlembagaan atas dasar ia melanggar Perlembagaan seperti yang ditafsirkan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira.

“Pada dasarnya, satu perisytiharan diperlukan oleh mahkamah sivil menjadikan pindaan itu tidak sah.

“Sehingga itu berlaku, kemungkinan besar Mahkamah Syariah akan mengguna pakai pindaan itu.”

Tiada ulasan: