Rabu, 28 Ogos 2019

PKR saran MB Selangor beri taklimat enakmen tukar agama anak pada PH

Fahmi Fadzil.
PETALING JAYA: Biro politik PKR menyarankan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memberi taklimat penuh cadangan enakmen tukar agama anak kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) Jumaat ini, susulan bantahan parti komponen gabungan itu.

Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata PKR menyarankan demikian selepas Amirudin, yang juga ketua PKR Selangor, memberi taklimat berhubung isu itu kepada biro politik parti.

“Biro politik PKR telah mengadakan mesyuarat pada hari ini yang dipengerusikan Presiden PKR, Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, DAP Selangor menegaskan tidak akan menyokong sebarang rang undang-undang di Dewan Negeri Selangor yang membenarkan penukaran agama anak secara sebelah pihak oleh ibu atau bapa.

Amirudin berkata usul berkenaan masih perlu dibincangkan bersama rakan-rakan komponen PH, dan mungkin akan dibawa pada sesi DNS akan datang jika ada kepentingan.

Sementara itu, Fahmi berkata Amirudin juga memberikan taklimat berkenaan perkembangan terkini program-program bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Selangor, termasuk program air percuma dan Skim Mesra Usia Emas, iaitu pemberian baucar beli-belah sebanyak RM100 setahun kepada golongan tua.

Biro Politik mengambil pendirian program-program itu perlu ditambahbaik secara berterusan dengan memastikan kumpulan sasar B40 sentiasa menjadi keutamaan, disamping pendanaan program yang perlu bersifat lestari.

Tiada ulasan: