Rabu, 28 Ogos 2019

PH mungkin kalah jika PRU esok, kata Rais Hussin

Rais Hussin (tengah) bersama Ahli Parlimen Rembau, Khairy 
Jamaluddin di forum di UIAM hari ini.

GOMBAK: Ketua strategi PPBM, Rais Hussin beri amaran Pakatan Harapan tidak lagi mendengar suara rakyat, dan ini boleh menyebabkan kekalahan dalam melawan Umno-PAS jika pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata PH ada 3 setengah tahun lagi untuk menunaikan janji-janjinya dan melaksanakan projek-projek yang akan memanfaatkan rakyat.

“Dalam senario sekarang, kalau kita adakan pilihan raya esok, Umno dan PAS akan menang,” katanya.

Beliau berkata demikian di forum “Pilihan raya-pilihan raya Kecil Pasca PRU-14: Implikasi pada PRU-15” anjuran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Beliau berkata PH perlu mengambil serius manifestonya untuk meraih kepercayaan rakyat dan memenuhi janji-janji pilihan raya seperti menurunkan kos sara hidup, menambahbaik kualiti hidup dan penjagaan kesihatan, mencipta peluang pekerjaan, dan membina rumah mampu milik.

Beliau berkata pengangguran dalam kalangan belia adalah tinggi dan kerajaan mengambil pendekatan salah dalam mencipta pekerjaan seperti meluluskan perkhidmatan perkongsian motosikal seperti Gojek.

Beliau berkata pengundi muda yang berusia 18 tahun ke atas, yang akan mengundi buat pertama kali, bukan pengundi setia mana-mana gabungan.

“Apa yang mereka mahu ialah pekerjaan,” katanya, tetapi bukan pekerjaan yang mengurangkan pendapatan negara.

“Kita perlu fikirkan jangka masa panjang dan bukan beberapa langkah segera,” katanya.

Beliau berkata kerajaan patut tumpu pada pertanian kerana negara masih bergantung kepada import makanan.

Sebaliknya, kerajaan PH mahukan projek kereta nasional ketiga dan kereta terbang “yang agak melucukan kerana masih ada rakyat yang susah”.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata BN pasti menang jika bukan kerana bekas perdana menteri Najib Razak, skandal 1MDB, dan GST.

Ini kerana prestasi dan penyampaian BN sebenarnya baik, katanya.

Khairy juga ditanya oleh peserta forum mengenai pilihan raya tempatan yang menurutnya boleh mengurangkan politik identiti.

“Secara prinsipnya, pilihan raya tempatan sstu perkara yang baik jika anda mahu ahli majlis laksanakan tugas,” katanya, tetapi ada kebimbangan ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan jika hanya satu kaum dilantik.

Tiada ulasan: