Selasa, 20 Ogos 2019

Penghina ATM mesti dihukum walaupun sudah minta maaf

ainulillia  

 

Kenyataan Yen Yin cetus pertelagahan, nama buruk pada tentera

BANGI– Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap ahli perniagaan, Koon Yew Yin yang menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Pertubuhan Pahlawan Patriotik Rakyat Malaysia (Pahlawan Patriotik) Negeri Sembilan. 

Setiausahanya, Badrullhissam Ismail berkata, walaupun Yew Yin telah membuat kenyataan maaf, laporan polis tetap diteruskan atas prinsip undang-undang kerana tidak mahu perkara itu berulang.

“Kami tidak mengusik urusan hariannya, tetapi dia sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, kebencian terhadap pasukan tentera.

“Rakyat Malaysia aman damai, namun disebabkan penulisannya yang berlebih-lebihan telah mencetuskan pertelagahan, nama buruk tentera, dan mengancam keselamatan negara,” katanya selepas membuat laporan polis di Balai Polis Seri Menanti, hari ini.

Selain itu, Badrulhisham seperti dilapor Sinar Harian menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat tanpa prejudis dan segera bertindak segera terhadap penulis hasutan kebencian berkenaan.

“Kesalahan itu boleh dikenakan menerusi Seksyen 233A Akta Komunikasi dan Multimedia, Seksyen 499/500/505 Kanun Keseksaan dan Panel Kod Seksyen 121 iaitu melancarkan atau cuba melancarkan perang atau bersubahat dengan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang Dipertua Negeri,” katanya.

Pada 12 Ogos lalu, Yew Yin melalui satu tulisan dalam blognya bertajuk `Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita’ antara lain menyifatkan anggota tentera di negara hanya makan dan tidur.

Malah, melalui tulisan itu juga, beliau mendakwa anggota tentera terbabit tidak pernah menembak dan mencadangkan supaya anggota tentera dihantar bertugas di ladang FELDA, hingga mengundang kritikan pelbagai pihak.

Bagaimanapun, dua hari kemudian, beliau dilaporkan  meminta maaf, dengan menyifatkan caranya ketika mengemukakan cadangan mengenai pengurangan kakitangan awam terutama anggota tentera tidak disukai oleh sesetengah pihak.


Tiada ulasan: