Ahad, 25 Ogos 2019

Orang Asli suku Batek Kuala Koh sambut baik projek tanaman kontan jana sumber ekonomi

Tragedi jangkitan demam campak Mei lepas di Kg Kuala Koh, 
Gua Musang, menimbulkan pelbagai isu termasuk punca penggunaan 
air sungai kotor. (Gambar Bernama)
 
GUA MUSANG: Lebih 200 masyarakat Orang Asli suku Batek yang tinggal di Kampung Kuala Koh di sini, menyambut baik projek perintis tanaman pokok terung oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk sumber ekonomi mereka.

Penghulu masyarakat Orang Asli Kuala Koh, Mohamad Pokok, 40 berkata, menerusi projek berkenaan, ia mampu menjana sumber pendapatan baru kepada penduduk.

“Sebagai masyarakat yang tinggal di kampung terpencil, kami sentiasa mengharap bimbingan semua pihak supaya dapat hidup berdikari selepas diberi keutamaan dalam menjayakan projek tanaman kontan dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung tersebut di sini, hari ini.

Jumaat lepas, Pengarah Jakoa Kelantan/Terengganu Hashim Alang Abdul Hamid dilaporkan sebagai berkata, sebanyak 1,000 pokok terung akan dibekalkan kepada keluarga Orang Asli suku Batek minggu hadapan sebagai projek perintis tanaman kontan untuk sumber ekonomi mereka.

Mohamad berkata, beliau mengakui selepas tragedi jangkitan demam campak yang berlaku Mei lepas, pelbagai isu timbul termasuk punca penggunaan air sungai kotor yang turut menarik perhatian kerajaan khususnya Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Kami rasa gembira apabila timbalan perdana menteri sendiri (sebelum ini) menyarankan kepada semua pihak, termasuk agensi dan jabatan kerajaan supaya melaksanakan segala pembaharuan untuk kami hidup lebih maju,” katanya.

Beliau berkata, fokus yang lebih utama ketika ini adalah berkaitan kemudahan bekalan air bersih dan elektrik serta berharap agar agensi berkaitan dapat memberi perhatian terhadap perkara berkenaan.

Sementara itu, seorang penduduk, Pikas Langsat, 34, berkata, penduduk kembali menggunakan air sungai berikutan kerja membekalkan air bersih sedang dilaksanakan.

“Kami gembira kerana diberi bimbingan untuk mengusahakan kebun sayur dan berharap projek itu dapat mengubah kehidupan kami selepas ini,” katanya.

Tiada ulasan: